Murid Sekolah Integrasi Rendah JAWI (SIRAJ) Al-Alusi berpeluang agih bubur lambuk kepada orang awam di Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan sekolah pada akhir Ramadan lalu.
Murid Sekolah Integrasi Rendah JAWI (SIRAJ) Al-Alusi berpeluang agih bubur lambuk kepada orang awam di Transit Aliran Ringan (LRT) berdekatan sekolah pada akhir Ramadan lalu.

PAJSK melalui bubur lambuk

Penyertaan bukan sekadar aktiviti sukan dan badan beruniform

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
06 Apr 2026 12:17pm

Bermula daripada perbincangan santai antara pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tercetus satu idea murni untuk menganjurkan program kebajikan sempena Ramadan lalu.

Hasil kesepakatan itu, agihan bubur lambuk dipilih sebagai medium terbaik kerana bukan sahaja mampu menghimpunkan murid, guru dan komuniti setempat dalam suasana gotongroyong yang meriah, malah membuka ruang kepada penglibatan aktif murid dalam aktiviti berunsur khidmat masyarakat.

Penyelaras Program Ihya’ Ramadan Siraj Al-Alusi, Hayatun’ Nisa Rohizani berkata, program itu dirangka khusus bagi memupuk nilai murni seperti kerjasama, keprihatinan dan semangat sukarelawan dalam kalangan warga sekolah.

“Setiap peranan yang dimainkan sama ada menyediakan bahan, memasak mahupun mengagihkan bubur memberi pengalaman bermakna kepada murid-murid,” katanya kepada Sinar Bestari.

Murid-murid SIRAJ Al-Alusi berbuka puasa sama-sama selepas mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti.

Menurut Hayatun 'Nisa, penglibatan secara langsung dalam aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia sebenar khidmat komuniti, malah membantu membentuk jati diri murid agar lebih peka dan bertanggungjawab.

Dalam masa sama, setiap penyertaan yang direkodkan turut menyumbang kepada markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), khususnya dalam komponen khidmat masyarakat.

Gambar kecil Hayatun 'Nisa
Gambar kecil Hayatun 'Nisa

Artikel Berkaitan:

“Apabila usaha mereka diiktiraf melalui penilaian PAJSK, ia secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada murid untuk lebih aktif dalam aktiviti kokurikulum,” ujarnya.

Tambahnya, program seperti ini juga berperanan mengukuhkan hubungan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, sekali gus mewujudkan suasana kebersamaan yang lebih erat.

“Jadi, program ini bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi satu platform penting dalam membentuk sahsiah murid secara holistik,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp