No Image Caption

Harungi cabaran, tuai kejayaan: Calon SPM 2025 Sarawak bukti anak Malaysia luar biasa!

11 May 2026 12:30pm

Ketabahan dan daya juang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 khususnya di Sarawak, wajar diberi pujian apabila berjaya mencatat pencapaian membanggakan meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan pendidikan mereka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau sentiasa berusaha menghadiri majlis apresiasi kecemerlangan SPM bagi meraikan kejayaan pelajar yang disifatkan mempunyai kecekalan luar biasa.

Menurutnya, kejayaan dicapai calon SPM tahun ini bukan sesuatu yang mudah kerana sebahagian mereka pernah melalui fasa sukar termasuk kesan pembelajaran ketika pandemik Covid-19.

“Selagi ada kudrat dan kesempatan, saya sememangnya mahu hadir ke majlis-majlis apresiasi kecemerlangan SPM untuk bersama-sama menyantuni dan meraikan anak-anak SPM 2025. Anak-anak ini punya daya tahan dan kecekalan yang hebat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis lalu.

Beliau berkata demikian selepas meraikan pelajar cemerlang SPM melibatkan daerah Miri, Baram dan Subis di Sarawak.

No Image Caption

Jelas Fadhlina lagi, kejayaan calon SPM 2025 membuktikan bahawa cabaran bukan penghalang untuk pelajar terus melakar kecemerlangan, termasuk bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Di sebalik pelbagai rintangan dan cabaran yang dihadapi termasuk berada dalam situasi pandemik, anak-anak ini telah berjaya melepasi ujian penting dalam kehidupan mereka dengan cemerlang sekali,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sarawak turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila merekodkan Gred Purata Negeri terbaik sejak tahun 2013.

Pencapaian tersebut turut memperlihatkan peningkatan prestasi dalam kalangan calon di bandar dan luar bandar sekali gus mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh akses pendidikan.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa serta rakan industri yang bersama-sama membentuk ekosistem pendidikan lebih kukuh di negeri itu.

Beliau berharap kejayaan diraih calon SPM 2025 akan menjadi pembakar semangat untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam bidang akademik dan kehidupan pada masa hadapan.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp