3M Inspire Challenge Visual
3M Inspire Challenge Visual

3M Inspire Challenge 2022 cungkil idea mahasiswa dalam aspek Bahan Lestari, Paradigma Baharu dan Kesaksamaan

Adlan Farhan Azwan
15 Aug 2022 12:18pm
A
A
A

Syarikat sains global 3M baru-baru ini telah melancarkan edisi kedua 3M Inspire Challenge 2022 yang terbuka kepada mahasiswa daripada semua disiplin dan latar belakang di sepuluh negara Asia Pasifik.

Antara negara yang terlibat ialah Australia, New Zealand, India, Korea, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

3M Inspire Challenge 2022 mengetengahkan cabaran untuk meningkatkan perniagaan 3M dan menambah baik kehidupan yang merangkumi tiga tema iaitu Bahan Lestari, Paradigma Baharu (dunia pasca pandemik), dan Kesaksamaan (menerusi sains dan teknologi).

Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat 3M Asia dan Pengarah Urusan 3M Korea, Jim Falteisek berkata, pihaknya sentiasa berusaha dalam perkembangan masyarakat, idea dan sains.

“Menerusi 3M Inspire Challenge 2022, kami ingin mencipta penyelesaian bagi membina sebuah dunia yang lebih positif untuk masa hadapan dan menggunakan kepakaran kami dalam memupuk kepelbagaian generasi pemimpin, pemikir dan pencipta pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kepakaran profesional daripada 3M akan membimbing pasukan yang telah disenarai pendek bermula September ini bagi menggilap idea mereka sebagai persediaan untuk ke peringkat akhir pertandingan.

Bermula dengan separuh akhir peringkat negara, tiga pasukan yang telah disenarai pendek akan berentap dengan rakan senegara dalam panel penghakiman secara langsung pada Oktober nanti.

Pemenang dari setiap negara akan bergelar Juara Negara dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,000 serta berpeluang menjalani latihan industri di pejabat 3M tempatan.

Pada November ini, Juara Negara dari setiap negara akan ke cabaran Akhir Peringkat Serantau di mana pemenang utama akan dinobatkan sebagai Juara Serantau dan menerima hadiah wang tunai AS$5,000.

Tahun lalu, 3M Inspire Challenge telah disertai sebanyak 122 pasukan dari Asia Tenggara.

Antara idea-idea terbaik yang mendapat perhatian ialah Pelekat Luka Pintar atau ‘Smart Bandages’ daripada pasukan Malaysia yang boleh memantau proses penyembuhan luka berbeza secara berperingkat, kedai maya 3M 360° daripada pasukan Vietnam dan pelitup muka bioplastik lestari daripada pasukan Indonesia.

Menggalakkan kepelbagaian penyertaan dalam STEM

Dengan penekanan terhadap inovasi menerusi kepelbagaian dan keterangkuman, 3M Inspire Challenge adalah salah satu contoh dedikasi 3M ke arah memupuk kepelbagaian bakat-bakat generasi akan datang dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Dengan mewajibkan setiap pasukan mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli wanita dan lelaki, 3M memastikan golongan wanita diberi peluang yang sama untuk mengasah kemahiran inovasi dan mendapatkan pendedahan dalam STEM, yang mampu mencetuskan lebih banyak lagi idea kreatif dan inovatif.

Cabaran ini tercetus hasil daripada kepelbagaian penglibatan komuniti 3M yang selari dengan misinya, termasuklah kerjasama dengan organisasi seperti Yayasan MySkills, Teach for Malaysia dan banyak lagi bagi menyediakan peluang pendidikan STEM berkualiti tinggi kepada para pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan memberikan impak positif dalam bidang pendidikan dan sains.

Artikel berkaitan

Penyelidik perkenal sistem penapisan air, bantu Orang Asli dapatkan bekalan air bersih

SJKC Thai Kwang bolot 6 emas, di pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa

Minat robotik sejak sekolah rendah, dorong siswazah gondol 2 anugerah dalam dan luar negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok