bilik darjah latest
bilik darjah latest

KPM diminta perincikan sop pembukaan sekolah bermula 1 September

webadmin
13 Aug 2021 05:45pm
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 1 September ini susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 harian serta kebimbangan kemunculan varian Delta dan Lambda.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menyokong pembukaan sekolah secara bersemuka, namun beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mengelakkan penularan jangkitan lebih teruk melibatkan pelajar sekolah.

“Kita sedia maklum terdapat varian baharu seperti Delta dan Lambda yang cukup berbahaya. KPM harus bersedia dan mempunyai SOP yang lebih jelas mengenai hal ini.

“Paling penting anak-anak ini diberi suntikan vaksin terlebih dahulu, barulah kita benarkan mereka menghadiri kuliah atau pembelajaran secara bersemuka,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan 2021.

Pada 17 Julai lepas, KPM dalam kenyataan memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan hingga 31 Ogos.

Sementara itu, Aminuddin berkata seramai 653,938 iaitu 80.3 peratus penduduk dewasa di Negeri Sembilan telah menerima dos pertama vaksin, manakala seramai 441,798 (54.25 peratus) lengkap divaksinasi setakat Selasa lepas.

Beliau berharap usaha vaksinasi ini dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 bagi mengembalikan kehidupan seperti biasa, namun orang ramai diingatkan terus mematuhi SOP dalam usaha mengekang penularan wabak yang membawa maut itu.

Negeri Sembilan semalam merekodkan 1,015 kes baharu Covid-19 iaitu kes harian tertinggi, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini 81,571 kes. - BERNAMA

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok