langkawi3
langkawi3

Lestari Langkawi temukan ahli akademik, pengamal media dan pemain industri

Norliza Wasilan
04 Oct 2022 09:47am
A
A
A

Ahli akademik, pegamal media dan pemain industri pelancongan disatukan dalam Seminar Peringkat Kebangsaan Lestari Langkawi: Peranan Kewartawanan Terhadap Kemapanan Industri Pelancongan di Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

Seminar yang diadakan di Dewan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu adalah anjuran pelajar pasca siswazah di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pertemuan berkenaan membincangkan pelbagai cabaran serta isu membabitkan industri pelancongan di kawasan itu dan cadangan mengatasinya.

Antara dibincangkan sepanjang seminar tiga hari itu ialah kelestarian alam semula jadi; inisiatif kitar semula dan ekonomi hijau; peranan media; infrastruktur khas pelancong orang kurang upaya (OKU), aktiviti promosi menggunakan media sosial dan peraturan merokok di pulau berkenaan.

Seminar ini menyokong Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development) dan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals).

Menurut Dekan SMMTC, Profesor Madya Dr Norsiah Abdul Hamid, seminar berkenaan adalah inisiatif terbaik dan memberi impak kepada pelbagai pihak terutamanya kepada universiti, pemain industri pelancongan, pengamal media, komuniti setempat serta agensi kerajaan dan swasta.

“Seminar ini menyokong Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development) dan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) secara langsung dari segi kelestarian alam sekitar serta agenda pelancongan Malaysia, terutamanya di Kedah.

“Selain itu, ia juga memanfaatkan beberapa pihak secara langsung dan tidak langsung di mana seminar ini memberi peluang kepada pelajar pasca siswazah dalam perkongsian ilmu dan membantu memberi idea bagi menyelesaikan permasalahan berbangkit.

“Oleh itu, Saya harap supaya seminar ini dapat diteruskan pada masa akan datang oleh pelajar SMMTC,” ujarnya sempena seminar berkenaan yang dirasmikan Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj.

Pelbagai perkara dibincangkan antaranya cabaran serta isu membabitkan industri pelancongan di Langkawi dan cadangan mengatasinya.

Antara pembentang kertas kerja yang mengambil bahagian ialah Penulis Khas The New Straits Times (NST) Kedah, Adie Suri Zulkifli; Pengasas Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah; lima pelajar pasca siswazah Kewartawanan Multimedia dari SMMTC UUM; tiga pelajar Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Turut menyumbang idea dan cadangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud; Ketua Teknikal dan Projek Bahagian Renewable Energy Hasilwan (M) Sdn Bhd, Mohd Azfar Mohd Ridza dan Presiden Persatuan Pengguna Kerusi Roda Malaysia (PPKRM), Zamri Mansor.

Sementara itu, Ketua Projek, Abdul Hadi Che Awang berkata, seminar berskala besar yang dianjurkan buat kali pertama itu cukup bermakna kerana ia membabitkan perkongsian ilmu.

“Tujuan utama seminar ini adalah untuk meneruskan pembudayaan ilmu penyelidikan dalam kalangan pelajar pasca siswazah.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi ilmu selain mengukuhkan rangkaian, pada masa sama membantu pelajar bertukar pengetahuan mengenai industri pelancongan serta polisi dan dasar kerajaan,” tambahnya lagi.

Artikel berkaitan

Penubuhan universiti wanita, KPT alukan sebarang cadangan

UPSI, The World Bank Group bekerjasama laksana penyelidikan asuhan dan didikan kanak-kanak

3 pelajar perubatan Malaysia bakal jalani penyelidikan di Harvard


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok