PASUKAN LKS
PASUKAN LKS

MRSM Kuala Klawang harum nama negara, raih kejuaraan dalam dua pertandingan muzik antarabangsa

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Jul 2021 08:17pm
A
A
A

Pasukan caklempong Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan yang dikenali dengan nama Lentera Kesuma (LKS) mengharumkan nama negara di peringkat antabangsa apabila meraih dua kemenangan dalam dua pertandingan muzik yang diadakan, baru-baru ini.

Kemenangan pertama yang berjaya diperoleh LKS ialah Anugerah Bintang Emas Kategori ‘Chamber Music’, Pertandingan Muzik Antarabangsa Music And Stars Awards 2021, Estonia.

Kejayaan itu membolehkan LKS membawa pulang e-diploma, mendapat peluang pameran Hall of Fame dalam laman sesawang rasmi Music And Stars Awards dan temu duga atau siaran artikel dalam Music And Stars Magazine.

Pasukan muzik tradiosional yang ditubuhkan pada 2007 itu juga berjaya melakar kemenangan kedua apabila mendapat Johan Kategori ‘Chamber Music’ dalam Pertandingan Muzik Antarabangsa The Muse 2021, Greece.

Lebih manis lagi, guru penasihat LKS, Cikgu Nurin Alyani Bizaini turut menerima Anugerah Best Chamber Music Teacher dalam pertandingan sama yang diadakan secara dalam talian.

Ahli kumpulan Lentera Kesuma MRSM Kuala Klawang.

Menerusi kemenangan itu pula, LKS mendapat e-diploma dan peluang mengadakan persembahan konsert di Megaron Athens Hall pada musim panas atau luruh tahun ini.

Berkongsi berita kemenangan itu, Cikgu Nurin Alyani berkata, pada awalnya LKS yang diwakili oleh 10 pelajar Tingkatan Tiga dan Lima, sudah menjangkakan kemenangan dengan meletakkan sasaran berjaya tersenarai dalam pasukan tiga terbaik.

"Memandangkan pasukan LKS sudah memperoleh kejayaan Anugerah Emas dari tahun 2017 hingga 2019 di peringkat kebangsaan, kami agak yakin dengan kemampuan dan kemahiran yang dimilki setiap ahli pasukan.

"Oleh itu, pasukan ini memilih untuk mengambil bahagian dalam dua pertandingan berkenaan kerana kami berhasrat untuk menguji bakat dan kemahiran sedia ada ke peringkat yang lebih tinggi iaitu antarabangsa serta membawa nama baik Malaysia di persada dunia," kongsi beliau.

Guru penasihat LKS, Cikgu Nurin Alyani.

Pertandingan Muzik Antarabangsa Music And Stars Awards 2021, Estonia adalah pertandingan muzik klasik yang terbuka kepada semua negara dan dibarisi 127 juri terkemuka dalam bidang masing-masing termasuklah dari Portugal, Switzerland, Jepun, Sepanyol, Perancis, Turki, Rusia, Brazil, Filipina, Australia, Prague, Mexico, Thailand serta Malaysia.

Menurut Cikgu Nurin Alyani lagi, pasukan LKS berkesempatan membuat persiapan selama dua minggu sahaja kerana pelajar perlu membahagikan masa untuk belajar, mengulang kaji dan juga menduduki peperiksaan.

"Walaupun berdepan kekangan masa, namun pasukan ini berjaya menyahut cabaran sedemikian untuk menjalankan latihan caklempong dengan baik sekali gus bersaing bersama-sama peserta dari negara lain yang sudah tentunya memberikan saingan sengit kerana mereka sangat berbakat dan dilatih oleh guru atau jurulatih profesional.

"Peserta terdiri dari negara China, Kanada, Jerman, Korea, Amerika Syarikat, Jepun, Mexico, United Kingdom, Perancis, Itali, Australia, Rusia, Turki, Sepanyol dan Portugal," jelas beliau.

Tambah Cikgu Nurin Alyani lagi, pihak MRSM Kuala Klawang telah memberi kepercayaan dan sokongan sepenuhnya kepada pasukan LKS untuk melakar nama pasukan, maktab, agensi iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Malaysia di persada dunia.

"Pihak pentadbir sangat gembira dan berbangga dengan kejayaan yang diperoleh oleh LKS malah akan terus memberi sokongan daripada semua aspek dan membantu dalam merealisasikan impian pasukan LKS di masa depan.

"Pihak pentadbir juga berhasrat agar penyertaan sebegini dapat melahirkan modal insan kelas pertama, berdaya saing dan mencapai keseimbangan holistik selain mengharapkan seni muzik tradisional ini terus dapat diperkenalkan serta dimartabatkan di seantero dunia melalui pasukan muzik Malaysia," kata beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok