usim2
usim2

USIM tanam 200 pokok dalam kampus, jayakan penghijauan Malaysia

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Mar 2022 11:32am
A
A
A

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menanam sebanyak 200 anak pokok hutan bernilai tinggi sempena Program Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sebanyak 12 spesis pokok hutan telah ditanam antaranya Kembang Semangkuk Jantung, Sepetir Daun Nipis, Meranti Kepong, Meranti Bunga, Kempas, Mengkulang Jari, Bintangor Laut, Kapur, Cengal dan Merawan Siput Jantan.

Ditanam di Tapak Arboretum USIM, pokok yang diterima merupakan sumbangan daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) dan progam penanaman ini adalah simbolik sokongan universiti kepada usaha yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yang menggerakkan usaha Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 juta pokok.

Melalui kempen ini, disasarkan 100 juta pokok ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun di beberapa kawasan strategik seperti di taman-taman perumahan, taman-taman awam serta institusi pendidikan tinggi.

Perasmian program penanaman ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin yang kemudiannya menyertai 100 peserta lain yang terdiri dalam kalangan pelajar Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan kakitangan universiti untuk menanam pokok.

Menurut Mohamed Ridza, Dasar Perhutanan Malaysia menyatakan keperluan untuk mengekalkan jumlah kawasan berhutan yang mencukupi untuk kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar malah progam seumpama ini dilihat selari dengan Dasar Perhutanan Negara.

“USIM bersungguh-sungguh untuk menjadi kampus lestari dengan melancarkan Blueprint Kelestarian USIM pada 19 November tahun lalu. Program ini dirangka di bawah Polisi Biodiversiti dan Landskap melalui inisiatif Green Lung dengan permulaan Kempen 1 Warga 1 Pokok.

“Program seperti ini diharap dapat memangkin sebuah Arboretum dalam kampus bagi menyokong penyelidikan dalam bidang botani, kepelbagaian biodiversiti dan penyelidikan lain yang berkaitan dengannya.

“Koleksi pokok-pokok hutan ini akan dipelihara untuk tujuan penyelidikan, pemuliharaan germplasma dan pendidikan. Selain itu, penanaman pokok-pokok ini akan membantu memulihara sistem ekologi dan kepelbagaian biologi yang stabil dan dapat menyediakan habitat kepada kehidupan liar kecil,” kata Mohamed Ridza dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Melalui program ini juga diharap dapat memupuk kesedaran dalam kalangan warga kampus khususnya membabitkan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar selain mempromosikan budaya pendidikan dan penyelidikan tumbuhan tempatan yang bernilai tinggi.

Selain itu, ia turut menjamin kesinambungan berterusan bagi program-program kelestarian USIM di bawah Program Pembangunan Landskap & Biodiversiti, Infrastruktur Hijau dan Kampus Barakah USIM yang antara lain melaksanakan inisiatif menambahkan bilangan pokok teduhan di dalam kampus USIM seterusnya menyokong usaha membantu Malaysia ke arah Negara Rendah Karbon 2030.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok