HomeGen AlphaInilah KisahkuGuru kongsi cita-cita murid Tahun 2 mahu jadi suri rumah berpendidikan, ikut...

Guru kongsi cita-cita murid Tahun 2 mahu jadi suri rumah berpendidikan, ikut teladan ibunya

Baru-baru ini tular di Twitter kisah anak murid menyimpan impian untuk menjadi suri rumah berpelajaran.

Hantaran itu dibuat guru sekolah rendah, Fathanah Nasir yang tertarik dengan pengakuan murid Tahun Dua yang disifatkan berbeza daripada kawan-kawannya.

Baca juga

Ceburi bidang pertanian sebagai alternatif pekerjaan, mahasiswa UPSI kini miliki kebun sawit sendiri

Khairol Hazeeq antara pereka muda yang bakal harumkan nama negara

“Sedang rakan lain mahu bergelar guru, polis, askar dia pula mahu bergelar seorang suri rumah yang berpendidikan. Saya tanya kenapa? 

“Lalu dia menjawab, bila saya jadi suri rumah yang berpendidikan maka, saya mampu jadi semua yang dicita-citakan rakan lain. 

“Saya boleh jadi guru, doktor, cef, dan pengawal keselamatan,” katanya di laman Twitter, baru-baru ini.

Mengakui tidak menyangka dengan jawapan matang yang meniti keluar di bibir murid seawal usia itu.

“Bila saya tanya lagi, dari mana datangnya mimpi dan cita-cita itu? 

“Dia jawab daripada ibunya yang mampu uruskan dia beradik termasuk ayah dengan bermacam pekerjaan dalam satu masa.

“Katanya ibu yang kejutkannya dan ayah bangun awal pagi ke sekolah, buatkan sahur, periksa keadaan suhu badan, semak kerja sekolah dan lain-lain,” ujarnya.

Bagaimanapun, ibu murid berkenaan menginginkannya rajin dalam pelajaran agar dapat mengikut jejak langkah bapa.

Namun, murid itu tetap dengan pendirian mahu menjadi seperti ibunya yang hebat melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

“Tambahnya lagi, saya percaya cita-cita ini baik sebab ibu kata kalau buat perkara yang baik ALLAH sayang.

“Apa pun cita-cita dan mimpi mereka, sebagai pendidik kita bantu realisasikannya dengan memberi tunjuk ajar, ilmu dan pendidikan yang cukup serta baik,” katanya.

Beliau turut menyembunyikan butiran murid berkenaan bagi menjauhi budaya sindiran dalam kalangan pengguna media sosial.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Saya tak dedahkan identiti si murid untuk jaga privasi dan elak berlaku sindiran terhadapnya. 

“Usia 8 tahun, hidup zaman digital boleh jadi pengaruh itu datang dari pemerhatian terhadap sekeliling seperti drama, Youtube dan lain-lain. Impian dia boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya.