HomeGen AlphaAktivitiInovasi SaBBAr bantu murid kuasai membaca Bahasa Arab dengan mudah

Artikel Berkaitan

Inovasi SaBBAr bantu murid kuasai membaca Bahasa Arab dengan mudah

Hari ini masih ramai dalam kalangan murid-murid yang masih tidak menguasai kemahiran membaca bahasa Arab dengan baik.

Oleh itu, seorang Guru Bahasa Arab dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Indah, Selangor, Ustaz Norazman Ahmat Syafri telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan inovasi Sambung & Baca Bahasa Arab (SaBBAr) yang bertujuan membantu murid menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Arab.

Selain Ustaz Norazman, inovasi tersebut turut mendapat sentuhan tiga murid lain iaitu Nurulhusna Humairah Mohd Nuzulhusni, Nur Iman Nusaibah Mohamad dan Nik Ayra Arissa Rudy.

Inovasi tersebut selain digunakan untuk murid-murid yang lemah dalam bahasa Arab, SaBBAr turut dipertandingankan.

Ketika dihubungi Sinar Bestari, Ustaz Norazman berkata, inovasi SaBBAr ialah singkatan kepada ayat Sambung dan Baca Bahasa Arab yang mengaplikasikan padanan huruf dan baris, Rumi-Arab yang berkonsepkan gamifikasi dalam realiti maya dan realiti terimbun.

“Berdasarkan pemerhatian dan refleksi dalam pembelajaran dan pemudahcaraan, terdapat murid yang masih lagi tidak menguasai kemahiran membaca bahasa Arab terutamanya dalam kalangan murid bukan Islam dan murid pemulihan.

“Oleh itu, teknik pengajaran baharu dengan menggunakan kaedah pembelajaran interaktif dan mudah iaitu SaBBAr telah direka untuk membantu mengurangkan masalah ini,” kata penerima Anugerah Guru Cemerlang Hebat Bahasa peringkat Kebangsaan 2021.

Baca juga

“Di mana Sekolah Kebangsaan Sungai Anib bang? Jauh ke? Dua hari dah hati saya tak tenang”

Guru dan pelajar, ini kaedah yang sesuai untuk merawat kulit melecur!

Dalam kajian ini, Ustaz Norazman berkata, model reka bentuk dan pembangunan telah digunakan beliau yang melalui fasa analisis keperluan, reka bentuk dan penilaian.

“Instrumen pemerhatian, temubual, ujian bacaan dan analisis dokumen telah digunakan oleh kami untuk mengumpul maklumat dan data kajian.

“Uji rintis juga telah dibuat dan alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar,” ujarnya dengan menambah inovasi SaBBAr tersebut juga dapat diaplikasi oleh komuniti untuk belajar asas membaca Al-Quran, jika ianya bersesuaian.

Sambung ustaz ini lagi, perlaksanaan kaedah SaBBAr telah mengubah tingkah laku dan minat murid untuk membaca dan membantu guru dalam menambah baik amalan pengajaran membaca bahasa Arab.

Inovasi ini juga telah berjaya membuktikan keberkesanannya apabila telah diuji kepada beberapa orang murid yang berbeza latar belakang bangsa dan berbeza jenis lokaliti sekolahnya.

Hasilkan lebih banyak inovasi

Dalam pada itu, Guru Besar, Nik Suhaida Razak memuji usaha yang dilakukan oleh Ustaz Norazman bersama anak muridnya dalam penghasilan inovasi SaBBAr.

“Ustaz Norazman merupakan individu yang memberi impak besar terhadap perkembangan Pengajaran dan Pembelajaran murid-murid SK Puchong Indah ini.

Nik Suhaida

“Inovasi beliau sangat diyakini dan mampu menyelesaikan banyak masalah penguasaan bahasa Arab dalam kalangan murid-murid bukan Islam dan murid-murid pemulihan di sekolah ini.

“Diharapkan pada masa akan datang, beliau akan menghasilkan lebih banyak bahan inovasi terutama inovasi yang berkaitan dengan PdPc untuk kegunaan yang lebih meluas serta membantu pendidikan bahasa Arab KPM terus gemilang,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

INFO

Objektif inovasi SaBBAr

1) Membantu murid-murid terutama yang berada pada tahap TP 1, TP 2 dan murid bukan Islam yang ingin mempelajari bahasa Arab.
2) Membantu guru mendapatkan bahan pembelajaran dan pengajaran yang mudah, berkesan dan menarik terutama apabila digunakan dalam menguasai bacaan perkataan bahasa Arab dengan baik dan fasih serta selaras dengan pendidikan abad ke 21.
3) Menjadikan pembelajaran bahasa Arab mesra teknologi, mesra pengguna dan selari dengan perkembangan pendidikan revolusi industri 4.0 serta ia seronok dan menarik untuk dibaca dan dipelajari oleh masyarakat di seluruh dunia.

Penyertaan dan pencapaian inovasi SaBBAr

1) Penerima Geran Yayasan Inovasi Malaysia, Anugerah Platinum, Premium Gold, Gold, Pembentang Terbaik dan Projek Terbaik dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa.
2) Anugerah Platinum dan Premium Gold dalam pertandingan Seminar Inovasi Pendidikan Islam dan Bahasa Arab (SIPBA) 2021.
3) Anugerah Emas dan Projek terbaik dalam 2021 World Language And Culture Carnival (Design & Innovation Competition).
4) Anugerah Premium dan Pembentang serta projek terbaik dalam Pertandingan Inovasi Peringkat Antarabangsa IPG Kampus Dato’ Razali Ismail.
5) Kelompok 4 teratas dalam Low Touch High Impact (LoTHI) 2021.
6) Pertandingan Teknologi Dan Inovasi Dalam Pembelajaran Abad ke-21.
7) Pertandingan Grassroots Open Challenge 2021.

Perancangan akan datang

Akan menghasilkan pelbagai inovasi berimpak tinggi yang dapat membantu golongan sasar dengan lebih meluas serta meningkatkan lagi kualiti pendidikan negara dalam melahirkan masyarakat 5.0.

Artikel Terkini