HomeGen AlphaTetap bersemangat walau serba kekurangan, inilah anak muda yang patut dijadikan contoh!

Artikel Berkaitan

Tetap bersemangat walau serba kekurangan, inilah anak muda yang patut dijadikan contoh!

NILAI – Kekurangan yang ada pada diri Ahmad Zahiruddin Zailani, 25, tidak sedikit pun menghalang dirinya untuk menggapai impian sebagai pakar teknologi golongan berkeperluan khas kelak.

Ini kerana, impian dapat direalisasikan sekiranya seseorang itu tidak pernah mengenal erti penat dalam menuntut ilmu.

Ahmad Zahiruddin yang dilahirkan dengan penyakit autisme berkata, selama empat tahun dia mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dengan Multimedia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pelbagai cabaran telah dilalui.

“Pahit manis semua ada, namun saya tidak pernah patah semangat dan mengalah sebaliknya nekad untuk menghabiskan pembelajaran.

“Alhamdullilah, semuanya berakhir dengan baik dan saya berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19, baru-baru ini,” ujarnya.

Anak sulung daripada lima orang adik beradik itu berkata, kehadiran pandemik Covid-19 turut memberikan dia peluang membantu proses pembelajaran secara dalam talian dengan menghasilkan lebih 40 video berkaitan mata pelajaran Syariah dan Usuluddin.

Baca juga 10 tip skor subjek Tingkatan Enam

Baca juga 4 tip keselamatan bas sekolah yang perlu murid ambil tahu

“Ketika pandemik Covid-19, kami menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan saya melihat tenaga pengajar banyak menggunakan lisan berbanding bahan mengajar seperti video.

“Ketika menjalani latihan industri di Ummi Maktum USIM, saya tekad menghasilkan lebih 40 video bagi membantu pensyarah,” katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.20.

Anak kepada pasangan Zailani Ahmad dan Hanes Mohd Nasir ini juga turut mencipta kejayaan dalam hafazan apabila berjaya menghafaz 30 juzul al-Quran ketika pengajian di peringkat diploma.

“Tiada sebarang rahsia sebaliknya saya lebih suka menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran dan ‘mentasmik’ bacaan al-Quran di Masjid USIM.

“Cuma apa yang saya nak kongsikan di sini adalah ‘mereka’ yang menjadi tulang belakang, sentiasa menyokong dan memberi semangat tanpa henti adalah ibu dan ayah. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan khas pada tahun hadapan.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Sementara itu, seramai 2,560 graduan USIM diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Diadakan di Dewan Tuanku Canselor, USIM, majlis tersebut bermula 23 November lalu dan  berakhir 30 November.

Setelah lebih dua tahun hidup dalam wabak Covid-19, majlis konvokesyen bertemakan ‘Pandemik Covid-19 Pemangkin Prosumer Muslim yang Berdisiplin’ itu merupakan konvokesyen secara fizikal sepenuhnya yang pertama diadakan selepas penularan pandemik.

Dalam pada itu, konvokesyen tersebut telah dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 23 November lalu yang disempurnakan Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

USIM dalam satu kenyataan berkata, Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan anugerah kepada para graduan cemerlang.

Pada Majlis Santapan yang turut diadakan pada hari pertama konvokesyen, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz berkenan menyempurnakan pelancaran dua buah buku khas iaitu Booklet Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dan Konsep Murabbi Citra USIM.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-18 USIM, seramai 27,837 alumni yang terdiri dalam kalangan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya telah dilahirkan yang dapat menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara.

INFO

Senarai penerima Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan anugerah-anugerah lain: 

1) Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang – Datuk Baljit Singh Sidhu

2) Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) – Ramli Abdul Samad

3) Ijazah Kehormat secara Anumerta – Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil (mantan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USIM)

4) Profesor Emeritus

(i) Profesor Datuk Dr Mahmud Mohd Nor dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

(ii) Profesor Dr Bachok M Taib dari Fakulti Sains dan Teknologi

5) Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang)

(i) Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Suwaibah Mustapha

(ii) Graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian, Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi, Muhammad Syamim Md Morshid

6) Anugerah Canselor

(i) Graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Kepujian, Fakulti Syariah Undang-Undang, Nur Alia Farisha Jemangin

(ii) Graduan Program Doktor Falsafah Sains dan Teknologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Muslimah Ithnin

7) Anugerah Lembaga Pengarah Universiti – Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi, Nur Amirah Yahaya

8) Pingat Emas Naib Canselor – Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi, Syed Muhammad Ibrahim Syed Mud Pu’ad

Artikel Terkini