HomeGen Z15 orang guru terkejut! Tak sangka dinobatkan Hero PdPR Terbaik dan Hero...

Artikel Berkaitan

15 orang guru terkejut! Tak sangka dinobatkan Hero PdPR Terbaik dan Hero PdPR Pilihan Khas Juri

Seramai 15 orang guru hebat menerima dua anugerah yang dipertandingkan menerusi Program Pencarian Guru Hero PdPR, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, baru-baru ini.

Dua anugerah tersebut adalah Guru Hero PdPR Terbaik dan Guru Hero PdPR Pilihan Khas Juri.

Anugerah Guru Hero PdPR Terbaik diberikan kepada lima pendidik iaitu Cikgu Mohd Arifudin Ateh (Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam); Cikgu Alfian Mansor (SK Sayong Pinang); Cikgu Che Nur Azizi Aizuddin Che Kadir (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Maahad Muar); Cikgu Khairul Nisa’ Mhd Juri (SK Bandar) dan Cikgu Mohd Athhar Md Daiam (SK Bandar T6).

Manakala, anugerah Guru Hero PdPR Pilihan Khas Juri diberikan kepada Cikgu Tamilselvy A/P C Arunasalam (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Kangkar Pulai, Kulai); Cikgu Chew Woei Aun (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Saleng, Kulai); Cikgu Khairu Rasid Mohamad (SMK Tan Sri Jaafar Albar, Kota Tinggi); Cikgu Zainudin Zainal Abidin (SK Bandar Tenggara 1, Kulai) dan Cikgu Ikmal Firdaus Abdul Wahab (SK Bukit Rahmat, Tangkak).

Penerima seterusnya ialah Cikgu Maimunah Muhammad (SK Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang); Cikgu Mohd Hafiz Kamarudin (SMK Dato’ Sri Amar Diraja, Muar); Cikgu Teo Yi Qin (SJK(C) Pei Hwa 2, Pasir Gudang); Cikgu Ezuwan Zailani Ibrahim (SK Sri Setia Jaya, Kota Tinggi) dan Cikgu Muhamad Farid Ahamad (SMK Taman Daya 2, Pasir Gudang).

Baca juga Tetap bersemangat walau serba kekurangan, inilah anak muda yang patut dijadikan contoh!

Baca juga Ingin tukar pengalaman kerja dan belajar jadi kelayakan akademik? Ini cara-caranya!

Cikgu Mohd Athhar ketika dihubungi berkata, rahsia kejayaan dirinya ialah rasa empati kepada beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh murid-murid untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Justeru, beliau telah mencuba pelbagai medium dalam talian dan menilai kesesuaiannya.

IKLAN

“Mengutamakan pelanggan saya iaitu murid-murid. Jika semua halangan berjaya kita atasi, murid-murid dapat mengikuti PdPR yang kita laksanakan,” ujarnya.

Sementara itu, Cikgu Alfian pula menyatakan, inspirasi kepada kejayaan beliau ialah anak muridnya.

“Saya sentiasa percaya, apa yang kita semai, itu yang akan kita tuai,” jelasnya.
Kesemua 15 penerima anugerah telah diraikan pada Majlis Apresiasi Hero PdPR Negeri Johor 2021 di EduCity, Iskandar Malaysia, pada 24 November lalu.

Sementara itu, Timbalan Sektor Pembelajaran, yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shahilon Abd Halim, dalam ucapan perasmiannya berkata, dalam mendepani cabaran Covid-19 ini keseluruhan individu rasa terbeban, begitu juga yang dirasai dalam kalangan warga pendidik, terutama dari segi beban tugas melaksanakan PdPR.

Namun, seberapa berat beban diberi, guru tetap bersedia menyahut cabaran dan memberikan yang terbaik kepada anak didik mereka.

IKLAN
Shahilon (dua kanan) dan Dr Sakina Sofia (dua kiri) bersama beberapa guru yang menerima anugerah Guru Hero PdPR bagi negeri Johor, baru-baru ini.

Justeru menurut beliau, usaha mencari Hero PdPR Terbaik ini adalah satu inisiatif untuk menghargai usaha murni guru-guru dalam memperkasakan PdPR.

“Penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat buat guru-guru dan sebagai suatu bentuk sokongan supaya guru-guru terus aktif mencurahkan idea dalam bidang pendidikan,” ujarnya.

Dalam situasi dunia mengalami polemik yang sama, kita warga pendidik reda dan ada juga segelintir kita yang melatah melawan cemuhan.

“Pelbagai kritikan dan persepsi dilemparkan oleh masyarakat terhadap golongan pendidik. Namun, melalui penilaian Hero PdPR Terbaik ini, kita dapat melihat begitu banyak sesi PdPR kreatif dan berprestasi tinggi yang telah dilaksanakan oleh ramai guru-guru. Ini sekaligus menangkis kritikan masyarakat terhadap keberkesanan PdPR itu sendiri.

“Diharapkan penganugerahan berkenaan akan membakar semangat guru-guru untuk terus kreatif dalam beradaptasi mendepani cabaran dunia pendidikan negara,” katanya.

IKLAN

Pengarah Operasi EduCity Iskandar Malaysia, Profesor Dr Sakina Sofia Baharom yang juga merupakan penganjur bersama turut menyatakan keterujaan beliau bertemu dengan kesemua pemenang Hero PdPR Terbaik negeri Johor.

“PdPR bukan remedi sementara pendidikan dalam tempoh pandemik ini. Malahan, ia menjadi batu loncatan kepada perkembangan pendidikan digital yang semakin meluas pada masa akan datang.

“Pendedahan kepada teknologi dalam pendidikan daripada guru-guru kepada murid akan menjadi pencetus minat kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” ujarnya.

Selain EduCity Iskandar Malaysia, majlis apresiasi yang pertama seumpamanya ini turut ditaja oleh Lenovo Malaysia dan McDonald’s Malaysia melalui syarikat Gerbang Alaf Sdn Bhd.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

Hero Terbaik PdPR yang terpilih telah disaring daripada 637 penyertaan daripada guru-guru seluruh negeri Johor.

Program Pencarian Guru Hero PdPR Negeri Johor ini telah dilaksanakan sejak Jun 2021 dan proses penilaian akhir oleh para juri diadakan pada 1 Oktober lalu.

Ia melalui proses saringan yang ketat kerana semua penyertaan mempamerkan kreativiti PdPR yang kompetitif, menjadikan pencarian Hero PdPR Terbaik bukanlah sesuatu yang mudah.

IKLAN

Artikel Terkini