HomeGen Z6 kemahiran asas bola sepak yang perlu pelajar tahu

Artikel Berkaitan

6 kemahiran asas bola sepak yang perlu pelajar tahu

Kemahiran asas bola sepak merupakan aspek penting yang perlu dipelajari setiap individu yang hendak bermain sukan tersebut.

Guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2, Cheras, Selangor, Cikgu Mohd Nasir Zakaria berkata, kemahiran asas ini sentiasa ditekankan dalam aspek kejurulatihan sama ada secara teori atau amali.

“Melalui kemahiran asas ini kita dapat mengetahui lebih mendalam bagaimana tatacara permainan bola sepak dijalankan.

“Latihan yang berterusan dan konsisten dapat memberikan pemain satu pengalaman yang berbeza dengan teknik serta kemahiran asas yang seharusnya dipelajari terlebih dahulu sebelum seseorang itu berupaya untuk menyertai apa juga pertandingan yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa kemahiran asas dalam permainan bola sepak iaitu menendang, menyerkap atau menerima bola, mengelecek, menanduk dan menjaga gawang gol.

“Semua kemahiran asas ini perlu dipelajari melalui latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatih yang berpengalaman. Bimbingan daripada jurulatih akan memberikan pemain satu pengalaman yang berbeza dalam setiap sesi latihan,” katanya.

Ikuti enam kemahiran asas yang dikongsi Cikgu Nasir ini.

1. Tendangan

Tendangan yang baik dapat dihasilkan dengan menggunakan teknik yang betul. Seseorang pemain juga dapat menendang dengan baik sekiranya mempunyai kekuatan otot dan kuasa yang baik di bahagian kaki. Aksi ini bertujuan untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan, melakukan tendangan sudut atau bebas, mengeluarkan bola dari kawasan gol, menjaringkan gol dan melakukan sepakan penalti.

Pada asasnya, terdapat tiga jenis tendangan iaitu leret, lambung dan voli.

(1.1) Tendangan leret dilakukan apabila membuat hantaran dekat dan menjaringkan gol. Berdasarkan kepada situasi dalam permainan, tendangan ini merupakan kemahiran paling asas dalam permainan bola sepak.

Teknik melakukan tendangan leret

  1. Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di sisi bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola.
  2. Ayunkan kaki menendang kebelakang. Badan dibongkokkan sedikit kehadapan. Kaki sokongan dibongkokkan sikit.
  3. Tendang di bahagian tengah bola.
  4. Ikut lajak selepas melakukan tendangan

(1.2) Tendangan lambung dilakukan ketika membuat hantaran jauh, tendangan bebas, tendangan sudut, mengeluarkan bola dari kawasan gol dan semasa menjaringkan gol.

Teknik melakukan tendangan lambung

  1. Kedudukan bersedia. Letakkan kaki sokongan di belakang bola. Badan hampir lurus. Mata memandang bola.
  2. Ayunkan kaki menendang kebelakang. Lutut kaki sokongan dibengkokkan sedikit.
  3. Tendang di bahagian bawah bola. Badan condong kebelakang.
  4. Ikut lajak selepas melakukan tendangan.

(1.3) Tendangan voli melibatkan aksi akrobatik seseorang pemain kerana perlu melakukannya dengan kekuatan kaki dan konsentrasi yang tinggi. Tendangan voli dilakukan untuk mengeluarkan bola dari kawasan gol dan untuk menjaringkan gol. Ia dilakukan menggunakan bahagian kekura kaki semasa bola di udara.

Teknik melakukan tendangan voli

  1. Kedudukan bersedia. Berdiri menghadap bola.
  2. Ayunkan kaki menendang ke belakang. Lutut kaki sokongan dibengkokkan sedikit. Mata memandang bola.
  3. Tendang di bahagian bawah bola menggunakan kekura kaki. Badan condong ke belakang.
  4. Ikut lajak selepas melakukan tendangan.

2. Menyerkap / Menerima Bola

Jangan sampai bola terlepas, pastikan ia diserkap dengan baik. Kebolehan menyerkap bola yang datang memudahkan seseorang pemain itu melakukan tindakan yang seterusnya dalam bola sepak. Pelbagai bahagian anggota badan, kecuali tangan boleh digunakan untuk menyerkap bola. Penggunaan bahagian anggota badan bergantung kepada keadaan bola yang datang, sama ada meleret atau tinggi. Kesediaan pemain dalam melakukan penyerkapan sangat penting bagi memastikan bola sentiasa dalam penguasaan pasukan.

3. Mengelecek

Kemahiran ini melibatkan kebolehan berlari sambil mengawal bola ke kiri, kanan, hadapan atau berpusing ke belakang. Mengelecek boleh dilakukan dengan sebelah kaki. Biasanya, bahagian dalam dan luar kaki digunakan.

Aksi ini sangat penting kerana gelecekan yang baik akan mengelirukan pihak lawan seterusnya menguasai zon padang dan jika berpeluang, dapat melakukan jaringan.

4. Melakukan hantaran

Hantaran dapat memastikan penguasaaan bola dalam pasukan kekal. Ia biasanya dilakukan dengan menggunakan kemahiran menendang. Tendangan leret digunakan untuk membuat hantaran dekat, manakala tendangan lambung digunakan untuk membuat hantaran jauh. Seseorang pemain boleh menggunakan hantaran dekat dan jauh semasa melakukannya kepelbagai arah. Hantaran yang baik akan memberikan peluang untuk menjaringkan gol.

5. Menanduk

Kebanyakan gol melalui tendangan sudut dapat disudahkan melalui tandukan. Kemahiran menanduk boleh digunakan untuk menjaringkan gol dan melakukan hantaran. Aksi ini dilakukan dengan menggunakan bahagian dahi. Jenis tandukan yang biasa dilakukan semasa bermain ialah tandukan ke hadapan, belakang dan sisi. Tandukan yang baik dapat mengekalkan penguasaan bola sekiranya dapat disambut oleh pemain dalam pasukan yang sama.

6. Menjaga gol

Hanya penjaga gol boleh menggunakan tangan untuk menangkap bola. Ia untuk menghalang bola daripada masuk ke dalam gawang. Teknik ini perlu dipelajari dengan jurulatih khas. Penjaga gol boleh menggunakan keseluruhan anggota badannya untuk menghalang cubaan jaringan yang dibuat oleh pasukan lawan. Penjaga gol yang baik mestilah menguasai kemahiran menangkap, menumbuk dan menendang. Tugas penjaga gol sangat ‘crucial’ kerana merupakan ‘last man standing’ untuk menjaga gawang gol.

Artikel berkaitan 

Selamat atau tidak? Ini yang patut guru dan pelajar tahu berkenaan aktiviti bersukan

Guru cemerlang Kimia terima anugerah antarabangsa

Anak kelahiran Muar, Florence Tan dilantik Timbalan Ketua Juruteknologi di Nasa, inspirasi kepada pelajar bidang kejuruteraan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini