HomeGen ZKerana minat melukis, Ajis sanggup selam skuba hingga berjaya hasilkan 50 karya...

Kerana minat melukis, Ajis sanggup selam skuba hingga berjaya hasilkan 50 karya di dasar laut. Terbaik!

Melihat khazanah hidupan laut yang cantik, unik dan pelbagai sudah tentu berikan satu kepuasan buat peminat selam skuba apatah lagi apabila dapat mengabadikan panorama indah itu ke atas kanvas lukisan.

Inilah yang dilakukan pelukis, Ajis Mohamad, 58, juga seorang penyelam skuba profesional kerana mahu melihat sendiri keindahan di dalam laut sekali gus mendapatkan idea untuk menghasilkan pelbagai lukisan bertemakan kehidupan laut.

Malah beliau juga pernah mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records pada 2000 sebagai individu pertama di negara ini yang menghasilkan lukisan di dasar laut.

Berkongsi mengenai pembabitan awal dalam aktiviti selam skuba, Ajis berkata beliau memilih untuk bergiat aktif dalam sukan berkenaan kerana mahu meneroka perkara baharu selain memang suka terhadap laut dan minat berenang.

“Pengalaman bercuti di Pulau Sibu, Johor pada 1995 menyebabkan timbulnya minat untuk melukis di dasar laut dan bagi menjadikan ia satu kenyataan, saya perlu mendapatkan lesen menyelam.

“Sehubungan itu, saya mula menyertai sukan selam skuba pada 1997 dan sudah memiliki lesen menyelam Professional Association of Diving Instructors (PADI) Advanced Open Water Diver yang membolehkan saya menyelam bila-bila masa dan di mana-mana saja,” katanya.

Anak kelahiran Kajang, Selangor itu sudah berjaya melukis kira-kira 50 lukisan di dasar laut.

Jika sebelum ini, ramai beranggapan selam skuba ini adalah sukan untuk golongan kaya saja tetapi hari ini aktiviti berkenaan sudah menjadi sukan untuk semua golongan apatah lagi banyak pihak yang menawarkan kursus bagi mendapatkan lesen menyelam.

Penubuhan banyak pusat selam skuba untuk kanak-kanak juga menjadikan ia antara sukan yang menjadi pilihan dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing mencuba sukan berkenaan.

Pengalaman pahit manis

Mengambil kira selam skuba sebagai sebahagian daripada aktiviti lasak, sudah tentunya Ajis turut berdepan cabaran dan pengalaman pahit manis yang tersendiri sepanjang membabitkan diri dalam sukan berkenaan.

Ujar anak kedua daripada 10 orang adik beradik itu, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila dikejar ikan Jebong (triggerfish) dan ditinggal oleh pemandu bot ketika melakukan aktiviti selam skuba kerana salah faham dalam komunikasi.

“Ketika itu ada dua bot dalam kumpulan kami dan tekong beranggapan kami sudah naik salah satu bot berkenaan menyebabkan saya dan rakan-rakan menghabiskan masa selama 15 minit dihayun gelombang laut sementara menunggu bot laju datang mengambil kami.

“Selain itu, aktiviti selam skuba ini juga sangat menyeronokkan kerana dapat melihat spesies hidupan laut yang jarang ada di tempat lain contohnya Nudibranch di Pulau Tenggol, Terengganu,” kongsinya.

Berdepan cabaran

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi pula, Ajis berkata, beliau pernah mengalami masalah nitrogen narkosis iaitu mabuk di dalam air yang biasanya berlaku kepada penyelam laut dalam.

“Saya juga berdepan situasi tangki kehabisan udara ketika berada di dalam laut kerana masalah kebocoran.

“Cabaran lain ialah saya perlu mengendalikan penyelam yang tidak mampu bertenang ketika berada di dalam air menyebabkan nafasnya terlalu laju sekali gus menyebabkan udara dalam tangki cepat habis,” jelasnya.

Bagi pelajar di luar sana yang berminat mencuba aktiviti selam skuba ini, Ajis sempat menitipkan pesanan supaya belajar menghargai dan menyayangi alam semula jadi serta hidupan laut.

“Menyelam adalah sukan lasak yang sangat bagus untuk kesihatan dan mampu mendisiplinkan diri kerana sebarang kesilapan atau kelalaian akan melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Oleh itu, bagi mereka yang suka kepada fenomena kehidupan laut, sukan ini sangat bersesuaian untuk dicuba dan pastikan mendapat bimbingan daripada mereka yang pakar dan berpengalaman,” tuturnya mengakhiri perbualan.

INFO

Lokasi selam skuba yang pernah dilawati

  • Pulau Semporna, Sabah
  • Pulau Sibuan, Sabah
  • Pulau Perhentian, Terengganu
  • Pulau Lang Tengah, Terengganu
  • Pulau Redang, Terengganu
  • Pulau Bidong, Terengganu
  • Pulau Tenggol, Terengganu
  • Pulau Kapas, Terengganu
  • Pulau Tioman, Pahang
  • Pulau Sibu, Johor
  • Pulau Tinggi, Johor

Artikel berkaitan

Nursafiy aktif selam skuba, semangat meneroka keindahan hidupan laut dalam

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah

UPM galak mahasiswa sertai kelas asas selam skuba


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok