HomeBuletinPasangan kembar antara 309 graduan kelas pertama dirai dalam Majlis Konvokesyen UMT

Pasangan kembar antara 309 graduan kelas pertama dirai dalam Majlis Konvokesyen UMT

Dua pasangan kembar meraikan hari bersejarah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-18 yang berlangsung selama lapan hari bermula 6 Disember lalu.

Nur Fatma Husna Majid dan pasangan kembarnya Nur Fatma Hasni merupakan graduan Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, berkongsi pentas kejayaan setelah berhempas pulas selama empat tahun bagi menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang diminati.

Menurut Husna, melanjutkan pengajian di UMT merupakan pilihan yang tepat.

“Kami tidak pernah berjauhan sejak kecil. Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya buat keputusan untuk cuba berada di sekolah berasingan dengan kembar saya.

“Ketika itu saya berjaya ditawarkan di sekolah berasrama penuh di Kelantan manakala kembar saya meneruskan persekolahan berasrama penuh di Terengganu.

Husna (tengah) bergambar bersama Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar dan Pro Naib Canselor, Prof Dr Fauziah Abu Hasan.

“Meskipun begitu, pelbagai cabaran perlu ditempuhi sepanjang kami berjauhan termasuklah melihat kesukaran ibu bapa untuk menguruskan kami yang tinggal berasingan negeri,” katanya yang merupakan anak pertama dan kedua daripada lapan adik beradik.

Ujar Husna, sehubungan itu, dia dan pasangan kembar bersetuju untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan 6 selepas tamat menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

“Pengorbanan itu agak sukar namun saya tekad demi memudahkan ibu bapa di samping menjimatkan perbelanjaan pengajian dan hanya perlu tinggal di rumah bersama keluarga.

“Kami kemudian memilih menyambung pengajian di UMT kerana program yang ditawarkan menepati minat saya dan pasangan kembar serta rezeki menyebelahi kami apabila diterima melanjutkan pengajian di universiti yang sama,” katanya yang juga penerima biasiswa daripada agensi perbankan terkemuka.

Detik manis majlis konvokesyen itu juga menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan buat pasangan kembar Husna dan Hasni apabila kedua-duanya dianugerahkan ijazah kelas pertama dalam sesi yang berbeza.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat gembira kerana kami berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dan kejayaan ini merupakan hadiah kepada ibu bapa atas pengorbanan yang telah dibuat untuk kami.

Seperti kebanyakan pelajar lain, pasangan kembar itu juga menanam impian untuk menempa kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Kami telah mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah di UMT bagi meneruskan pengajian peringkat sarjana dan kami akan buat yang terbaik bagi menempa kecemerlangan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” ujarnya.

Majlis konvokesyen UMT kali ke-18 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan menyaksikan seramai 2,878 pelajar yang bergraduasi dalam norma baharu.