HomeGen ZSukar nak pisahkan anak dengan gajet, Ustazah Aminah kongsi 6 tip menarik...

Sukar nak pisahkan anak dengan gajet, Ustazah Aminah kongsi 6 tip menarik sebagai panduan

Gajet adalah suatu alat yang sangat penting pada masa kini.

Selain digunakan untuk urusan seharian, gajet juga merupakan peralatan untuk para pelajar guna dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Cemerlang, Ustazah Aminah Mat Yusoff menerusi Facebooknya berkata, penggunaan gajet perlu ada batas agar anak-anak tidak leka dengan alatan tersebut.

“Sebagai ibu bapa, kita seharusnya bertindak daripada sekarang dengan memisahkan mereka daripada gajet.

“Ini kerana, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer secara berterusan, pastinya akan meninggalkan kesan buruk kepada mereka,” ujarnya.

Sebagai membantu mak ayah, Ustazah Aminah kongsikan tip mudah untuk anda lakukan supaya anak-anak tidak terikat dengan gajet.

Mari kita ikuti tip tersebut untuk panduan bersama.

1) Anak-anak kena faham tujuan gajet itu diberikan kepada mereka. Gajet adalah untuk PdPR, bukan untuk hiburan. Jika penggunaannya sudah tersasar jauh, anak-anak perlu disedarkan tentang perkara itu. Jangan leka dengan gajet sehingga abaikan PdPR dan tidur lewat malam kerana bermain game.

Situasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang ilmuan, manusia akan rosak jika terlalu taasub dengan hiburan dan melayari internet tanpa batasan.

Seterusnya, gajet ini seperti pisau yang menghiris dan melukai anak-anak kita. Selalulah ibu bapa meminta petunjuk dan hidayah daripada ALLAH agar anak-anak diberikan kesedaran dan rasa tanggungjawab.

2) Selesai PdPR, rancang aktiviti bermanfaat untuk anak-anak. Pisahkan mereka daripada gajet dan perbanyakan komunikasi, cari tajuk penting untuk dibualkan dan wujudkan kemesraan.

Tiada apa yang mampu menarik anak-anak untuk bercakap dengan ibu bapa melainkan mereka mendengar ungkapan yang indah, menyenangkan dan baik daripada kita.
Kurangkan menghukum, mengarah atau terlalu tegas. Jadilah kawan bagi anak-anak remaja, bercakap dari hati ke hati.

3) Berjemaah setiap kali waktu solat. Bila solat berasingan, adakah kita yakin anak-anak akan laksanakan. Dalam masa 5 hingga 10 minit biar anak-anak depan mata kita solat berjemaah dan latih mereka untuk menyebut kalimah-kalimah toyyibah, zikir pada ALLAH dan baca surah-surah lazim.

4) Waktu petang ajak anak-anak keluar bersenam, berjoging, main bola dan sebagainya. Sesekali bawa mereka menikmati keindahan alam di tepi pantai, jeram ataupun sungai.

Kehidupan anak-anak hari ini sangat berbeza dengan zaman kita dulu, mereka tidak lagi merasai nikmat zaman kanak-kanak yang sangat indah dan menyeronokkan.

5) Selesai solat Maghrib berjemaah, jadikan membaca al-Quran sebagai rutin satu keluarga sementara menunggu Isyak. Galakkan anak-anak membaca dan menghafaz ketika ini.

6) Tidur awal, bermula pukul 10 hingga 10.30 malam. Anak-anak yang ketagihan gajet akan berjaga hingga pagi untuk bermain game.

Ibu ayah yang saya kasihi. Anak-anak kita bakal pemimpin masa hadapan, jika zaman remaja mereka dicorakkan dengan habit yang bertentangan dengan fitrah, kemungkinan besar ia memberi kesan negatif kepada anak-anak ini bila mereka dewasa nanti. Jarakkan anak-anak daripada gajet, penuhi hidupnya dengan perkara yang bermakna.

Artikel berkaitan

8 makanan sunah yang perlu diamalkan

Sangat cute! Murid Pemulihan Khas teruja tengok mimik muka Cikgu Roslee ketika mengajar

Acara main sukan tradisional, alih perhatian kanak-kanak pada gajet


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok