HomeGen ZTidak rapat dengan cikgu? Ini 5 strategi membina hubungan positif antara guru...

Tidak rapat dengan cikgu? Ini 5 strategi membina hubungan positif antara guru dan murid

Hubungan yang positif antara guru dan murid akan mewujudkan ‘iklim’ kelas yang seronok sekali gus memberi impak kepada hasil pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang positif.

Demikian fakta yang dipetik menerusi blog mudahmengajar kelolaan Herryan Syah Tupan Surian.

Dalam blog tersebut turut dinyatakan sikap guru yang mengamalkan prinsip diktator perlu dielakkan supaya murid berasa seronok untuk hadir ke sekolah dan mudah menerima ilmu yang disampaikan tanpa tekanan.

Selain itu, turut dikongsikan beberapa cara dalam membina hubungan positif guru dan murid untuk panduan kita bersama.

Sehubungan itu, Sinar Bestari paparkan lima strategi mudah membina hubungan baik membabitkan warga pendidik dan anak-anak murid.

Diharapkan perkongsian yang dituju khas kepada barisan guru di negara ini mendatangkan manfaat kepada mereka.

Ini perkongsiannya.

1) Tunjukkan keprihatinan kepada murid-murid

Guru perlu mengenali personaliti setiap anak muridnya di dalam kelas. Ini kerana, kebanyakan mereka agak malu dan segan untuk meluahkan masalah dan perasaan kepada guru secara bersemuka.

Dengan cara guru mengenali personaliti murid, ia akan membuatkan mereka tidak lagi segan dan takut untuk mendekati cikgu sekiranya menghadapi masalah akademik, sosial dan emosi yang perlu diluahkan. Oleh itu, pendidik berperanan menjadi pendengar yang setia kepada pelajar.

2) Mengingati nama murid-murid

Sebagai seorang guru, kita perlulah berusaha untuk mengenali dan mengingati nama terutamanya murid-murid yang diajar. Mengikut Jones (2013) yang berpendapat, guru yang mengingati nama murid akan lebih cepat membina hubungan positif dengan mereka.

Justeru, elakkan memanggil anak-anak ini dengan menggunakan kata ganti nama seperti awak dan kamu. Sebaliknya, cikgu mestilah menyapa, menegur dan memanggil mereka dengan nama sendiri. Dengan cara ini, hubungan akan menjadi lebih akrab dan mesra.

3) Menerima kelainan dan keistimewaan setiap murid

Cikgu mestilah bersikap jujur dan tidak boleh memiliki sikap ‘pilih bulu’. Selain itu, menerima perbezaan yang ada pada setiap individu murid akan membolehkan para guru membina hubungan baik sesama mereka.

Guru boleh cuba memahami dan menerima anak-anak didik melalui pengumpulan maklumat menggunakan borang profil pada awal tahun.

Maklumat yang dikumpulkan meliputi hobi, keluarga, impian, bakat, minat, perkara yang disukai dan tidak disukai. Seterusnya, menjadikan maklumat mereka sebagai contoh sewaktu sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan menampakkan keakraban sebagai sebuah keluarga.

4) Beri peluang kepada murid untuk mengenali guru

Sesetengah pendidik tidak bersetuju dengan cara ini. Bagaimanapun, cara ini sedikit sebanyak akan membuatkan murid berasa adil jika mereka turut mengetahui maklumat tentang gurunya.

Tidak ada salah untuk bertukar maklumat seperti makanan dan warna kegemaran juga aktiviti yang suka dilaksanakan pada waktu lapang. Semakin murid selesa dengan cikgunya, semakin mereka bersifat lebih terbuka dan boleh menerima.

5) Menitikberatkan elemen bukan lisan seorang guru

Seorang cikgu mestilah memiliki kemampuan menyampaikan maklumat dengan berkesan. Bagi mencapai elemen berkesan itu, guru tidak boleh menjadi seorang tiang di hadapan kelas sebaliknya perlu menggunakan intonasi yang sesuai, gerak badan menarik, raut wajah ceria dan berpakaian kemas serta menarik.

Akhir sekali, tugas seorang pendidik itu bukan mudah tetapi jika bergerak sekali dengan minat dan kesungguhan, pastinya dapat menghasilkan murid yang berjaya dan guru yang gembira tanpa tekanan.

Artikel berkaitan 

Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru

31 cara mengawal murid dalam kelas oleh Cikgu Herryan Syah. Senang sangat!

Guru Cemerlang kongsi petua melahirkan anak-anak hebat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok