Tip menulis entri blog pendidikan, guru-guru wajib hadam perkongsian ini

Menulis blog masih menjadi trend dalam kalangan guru selain menyediakan vlog atau video sebagai sumber pengajaran.

Penulisan dalam halaman blog membolehkan kita menulis pandangan sendiri, berkongsi hebahan atau menulis fakta tentang sesuatu perkara.

Walaubagaimanapun, masih kurang khususnya dalam kalangan cikgu yang berminat untuk menulis blog di mana salah satu faktornya adalah tidak pasti entri blog yang perlu ditulis.

Justeru, guru subjek Bahasa Melayu serta Reka Bentuk dan Teknologi, Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor, Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor berkongsi beberapa entri blog yang boleh ditulis khususnya untuk guru-guru.

Baca juga Etika menghantar e-mel rasmi yang ramai terlepas pandang. Pelajar dan graduan, mohon beri perhatian!

Baca juga Ini kebaikan Sekolah Berasrama Penuh yang pelajar perlu tahu!

Ini kata beliau

1) Menulis aktiviti seharian

Sebagai permulaan, rakan-rakan boleh menulis tentang aktiviti seharian yang dilakukan.

Aktiviti seharian itu skopnya besar dan pelbagai. Tidak perlulah kita menulis aktiviti rutin dari awal pagi sehingga malam. Rakan-rakan boleh fokus kepada beberapa peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut.

Sebagai contoh, rakan-rakan boleh menceritakan tempat-tempat yang dilawati ketika bercuti secara ringkas. Contoh lain, terdapat rakan-rakan yang terlibat sebagai sukarelawan ketika peristiwa banjir yang lalu.

Melalui pengalaman ini, rakan-rakan boleh menceritakan semula dalam bentuk diari bagi setiap momen yang berlaku. Bagi menulis aktiviti seharian, saya cadangkan rakan-rakan gunakan bahasa yang santai untuk menulis supaya pembaca lebih dekat dengan kita.

2) Menulis anekdot pengajaran

Berdasarkan kamus dewan, anekdot ini merupakan kisah ringkas tentang sesuatu peristiwa. Anekdot atau jurnal pengajaran ini ditulis untuk menceritakan aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam bilik darjah sewaktu sesi pengajaran mata pelajaran yang diajar rakan-rakan.

Dalam anekdot, rakan-rakan boleh menulis tentang pemerhatian atau perasaan ketika mengajar mata pelajaran tersebut meliputi pendekatan, kaedah atau bahan bantu mengajar yang diimplemenkan. Rakan-rakan juga boleh menceritakan tingkah laku atau motivasi murid ketika dalam sesi tersebut.

Dengan menulis anekdot, secara tidak langsung menjadi bahan untuk penulisan kajian tindakan rakan-rakan. Untuk penulisan anekdot, saya cadangkan gunakan istilah yang mudah difahami oleh umum supaya pihak lain selain guru boleh memahami situasi yang berlaku dalam bilik darjah.

3) Menulis kepakaran atau niche

Setiap guru pasti mempunyai niche atau kepakaran masing-masing mengikut bidang atau mata pelajaran yang diajar.

Kepakaran seseorang ini dibangunkan melalui proses yang panjang melalui pengalaman masing-masing khususnya dalam bidang pendidikan.

Terdapat rakan-rakan yang menjadi Jurulatih Utama atau terlibat dalam bengkel melibatkan bidang kurikulum atau ko-kurikulum. Sebagai contoh, saya lebih fokus kepada kajian tindakan dan inovasi dalam pendidikan khusus bidang literasi Bahasa Melayu dan STEM.

Melalui platform blog ini, rakan-rakan boleh berkongsi tip atau kaedah mengajar secara bertulis atau bentuk grafik dalam halaman antara muka blog masing-masing. Rakan-rakan juga boleh berkongsi video pengajaran yang telah disediakan.

Untuk bahagian ini, guru-guru boleh menulis maklumat seperti e-mel, nombor telefon atau medium media sosial bagi membolehkan rakan-rakan guru untuk berhubung lebih lanjut dan berkolaborasi antara satu sama lain.

Ikuti juga kami di:
Facebook: https://www.facebook.com/sinarbestarimy
Instagramhttps://www.instagram.com/sinarbestarimy/
Twitter: https://twitter.com/sinarbestarimy
Youtube: https://www.youtube.com/c/SinarBestariMy/

4) Menulis untuk hebahan

Sekiranya menyertai kumpulan-kumpulan tertentu di media sosial, cikgu-cikgu boleh menggunakan maklumat yang disediakan bagi tujuan hebahan di halaman blog masing-masing.

Sebagai contoh, kita sering mendapat poster untuk penyertaan seminar penyelidikan atau pertandingan inovasi tetapi maklumat tersebut ringkas dan terbatas. Ada poster yang hanya menyediakan kod QR untuk maklumat lanjut melalui halaman web yang disediakan.

Oleh yang demikian, rakan-rakan boleh lakukan eksplorasi maklumat berkenaan aktiviti tersebut seperti latar belakang, garis masa dan pautan pendaftaran aktiviti tersebut. Kongsikan semua maklumat di halaman blog anda.

Rakan-rakan juga boleh jadikan halaman blog untuk mempromosi aktiviti yang anda sendiri akan dilaksanakan. Untuk entri ini, rakan-rakan boleh gunakan maklumat yang disediakan oleh pihak penganjur.

Melalui penulisan blog, secara tidak langsung perkara ini menjadi eviden terhadap pembangunan profesional rakan-rakan. Elakan daripada menulis perkara-perkara sensitif kerana perkara ini memberi kesan kepada diri sendiri. Susun entri supaya pelbagai dan kerapkan menulis supaya pihak umum mengetahui tentang kehadiran kita. Semoga perkongsian rakan-rakan guru melalui blog mendapat balasan ganjaran daripadaNya.

Sumber: Cikgu Bique Blog