pexels-monstera-6238039
pexels-monstera-6238039

Cikgu Razali kongsi 5 tip penting untuk pelajar lakukan sebelum peperiksaan

Roshlawaty Md Raieh
10 Feb 2022 09:36pm
A
A
A

Apa yang pelajar boleh lakukan apabila menjelang peperiksaan? Adakah sekadar membuat ulang kaji sahaja atau mengambil inisiatif untuk merehatkan otak dengan melakukan aktiviti tertentu.

Penolong Kanan, Pusat Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran berkata, terdapat tip tertentu yang boleh pelajar lakukan sebelum menduduki peperiksaan.

“Saya kongsikan lima tip penting untuk pelajar lakukan. Moga ada manfaat terutamanya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau peperiksaan lain,” katanya yang juga merupakan Guru Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam.

Ikuti tip dikongsi beliau menerusi akaun Facebooknya, baru-baru ini.

1) Fokus pada hari yang masih berbaki

Maksudnya, pelajar perlu memberi sepenuh tumpuan menjelang hari peperiksaan yang bakal tiba. Abaikan perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu fikiran. Sebarang perkara yang boleh mengganggu fikiran perlu dijauhi.

Kita biasa melihat, gangguan hari-hari terakhir itu boleh menyebabkan kita hilang fokus sehingga boleh mengganggu tumpuan terhadap peperiksaan yang semakin hampir.

Ibarat perlawanan bola sepak yang sudah sampai pada minit-minit terakhir, sekiranya para pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lawannya, mungkin akhirnya pihak lawan dapat menembusi gawang pasukannya akibat kecuaian sendiri.

Sekiranya mereka memberi sepenuh tumpuan, mungkin pihak lawan hilang terus taringnya.

2) Pastikan semua tajuk telah dikuasai

Jika pelajar tidak menguasai semua tajuk, bermaksud mereka belum bersedia sepenuhnya.

Buat senarai semak tajuk (tajuk besar dan sub tajuk) dan tanda mana yang telah dikuasai. Mana yang belum, usahakan segera. Juga, buat nota-nota kecil dan ringkas untuk memudahkan proses mengingat secara berterusan.

Nota ringkas akan memudahkan proses mengingat semula dengan lebih pantas dan mudah menjelang peperiksaan.

Buat latihan soalan sebenar. Pastikan tempoh menjawab mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Latihan menjawab ini penting untuk membiasakan diri dengan bentuk soalan dan tempoh masa menjawab sebenar nanti.

3) Belajar secara berkumpulan

Mahu tidak mahu, bagi pelajar yang mungkin baru sahaja insaf, belajar secara berkumpulan lebih mudah memberi pemahaman terhadap sesuatu tajuk.

Lantiklah seorang ketua yang akan menjadi ‘guru’ kepada ahli kumpulannya. Cara ini bukan sahaja pantas membantu, bahkan menjadikan si ketua semakin ingat dan menguasai topik-topik yang diajar kepada rakan-rakannya.

Semasa saya mengambil SPM dahulu, inilah yang diamalkan dan kami belajar di kantin sekolah pada waktu petang. Sebaiknya, biarlah ada papan hitam atau putih di tempat itu untuk memudahkan sesi perkongsian dilakukan.

4) Dampingi guru

Di saat akhir, sentiasalah mendampingi guru. Minta tunjuk ajar dan tip-tip yang boleh membantu dalam menjawab soalan peperiksaan.

Bagi pelajar yang belajar di saat akhir, inilah masanya bertemu guru-guru untuk mendapatkan tunjuk ajar.

Jangan malu. Masa sudah singkat. Tahanlah telinga yang mungkin sedikit pedih. Apa yang penting, dengan tempoh yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaiknya. Rebut peluang selagi ada sehingga ketitisan yang terakhir.

5) Jaga hubungan dengan Pencipta kita

Dalam hidup ini, tiadalah upaya melainkan dengan izinNya. Maka, jangan sesekali kita melupakanNya.

Untuk adik-adik yang bakal menghadapi peperiksaan, jaga hubungan dengan ALLAH.

“Rabb kita turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya.

Kemudian berfirman: "Orang yang berdoa kepadaKu akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepadaKu akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dariKu akan Kuampuni” (HRBukhari dan Muslim)

“Dan Tuhan kamu berfirman, Berdoalah padaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu…” (Al-Ghaafir : 60)

“Orang yang memperbanyakan istighfar, maka ALLAH akan menjadikan kemudahan dalam setiap kesusahannya, memberikan jalan keluar dari setiap kesempitannya dan memberikan rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangka-sangka.” (HR Imam Ahmad).

Artikel berkaitan 

Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir

Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya

Guru Cemerlang kongsi teknik sebenar mahir menulis Bahasa Inggeris


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan