HomeGen ZMahasiswa Universiti Islam Madinah, Arab Saudi kongsi 6 tip sambung belajar di...

Artikel Berkaitan

Mahasiswa Universiti Islam Madinah, Arab Saudi kongsi 6 tip sambung belajar di luar negara

Peluang menyambung pelajaran di luar negara pastinya menjadi impian semua pelajar di Malaysia.

Ini kerana, bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat tawaran ke negara yang kita mahukan. Sekiranya permohonan diluluskan, ia bagaikan ‘rezeki yang tidak disangka-sangka’ diberikan oleh ALLAH.

Bagi mahasiswa Universiti Islam Madinah (UIM), Arab Saudi, Ahmad Fareez Abdul Wahab, 24, pengorbanan menunggu selama empat tahun akhirnya berbaloi apabila dia diterima masuk ke universiti berkenaan.

“Memang agak terkejut apabila permohonan ke UIM diluluskan. Bayangkan ketika itu, saya sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sastera Bahasa Asing (Pengkhususan Bahasa Arab), Kepujian Kelas Pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Agak kalut juga pada waktu itu, namun alhamdullilah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berjaya menghabiskan pengajian di UPM dan sekarang meneruskan Ijazah Sarjana Muda kedua di Madinah pula,” katanya yang kini mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah selama empat tahun di UIM.

Menyambung perbualan mengenai melanjutkan pengajian ke luar negara, anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini berkata, terdapat beberapa tip yang perlu dilakukan oleh pelajar sebelum membuat permohonan.

“Saya kongsikan enam cara untuk dijadikan panduan kepada semua pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran ke luar negara.

“Semoga ia bermanfaat buat anda semua,” kata penerima Anugerah Pendidikan Idris Shah (Kategori Sekolah Menengah Atas) sempena Maal Hijrah 1437H.

Baca juga 

Guru dan mak ayah, berikut 10 tip mudah pastikan anak suka mengaji al-Quran, mari amalkan

Cegah sebelum parah! Guru, ibu bapa dan murid mohon peka situasi HFMD yang semakin meningkat

Tip sambung belajar ke luar negara

1) Negara

Perlu ada sasaran negara mana yang ingin dituju. Ini kerana, ia banyak memberi kesan kepada sara diri kita kerana mata wang yang berbeza. Kemudian, buat kajian sama ada negara itu aman dan kondusif untuk pelajar belajar.

2) Universiti

Setelah sudah tekad dengan negara pilihan, buat kajian pula tentang universiti mana yang sesuai. Adakah ia awam atau swasta. Lokasinya di mana, bila ambilan baru dan sebagainya.

3) Bidang

Anda mesti tahu bidang pengkhususan yang diinginkan. Sebagai contoh, pengajian Islam ada cabangnya; Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab dan lain-lain. Begitu juga Sains Sosial dan Sains Tulen. Masing-masing ada cabangnya. Adakah ia kena dengan jiwa kita? Adakah ia diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)? Adakah bidang tersebut sesuai dengan keputusan yang kita dapat?

4) Tajaan

Pastinya belajar di luar negara memakan kos yang agak besar. Meskipun mata wang mungkin sikit berbeza, namun banyak perkara yang perlu kita bayar. Penerbangan dan pengangkutan semasa di sana, bayaran visa, yuran pengajian, buku, penginapan, makanan, keperluan asas dan kos sara diri yang lain. Maka sebelum mohon, pastikan kita tahu medium-medium untuk peroleh tajaan daripada pihak tertentu. Antaranya ada dalam bentuk tajaan separa atau penuh, pinjaman biasa atau pinjaman boleh ubah. Mohon semua saluran yang ada dan pilih yang paling menguntungkan.

5) Karier

Perlu diingatkan juga bahawa pengajian memainkan peranan penting dalam menentukan karier pada masa depan. Walaupun zaman sekarang, ada graduan yang bekerja dalam sektor yang bukan bidangnya, namun kita harus akui bahawa mereka yang bekerja dalam bidang itu adalah lebih ramai dan karier mereka lebih stabil.

6) Rujukan

Sebelum memohon, perlu ada rujukan yang pelbagai agar tidak tersilap pilih dan tersalah jalan yang menyebabkan gagal belajar di luar negara. Antara yang boleh dijadikan panduan adalah pensyarah, guru, pelajar senior dan laman web.

Keistimewaan belajar di luar negara pada pandangan Ahmad Fareez

1) Bahasa

Sudah pasti negara yang kita menetap itu menggunakan bahasa mereka tersendiri. Di Arab Saudi, dapat mempelajari Bahasa Arab secara formal di dalam kelas dan secara kasual bersama masyarakat. Jadi, selain mempelajari subjek pengkhususan, kita juga dapat menguasai bahasa negara tersebut.

2) Budaya

Untungnya belajar di negara orang ialah dapat merasai dan mengalami budaya baru yang mungkin kadang kala asing bagi kita. Contohnya di negara Arab, dari segi pemakaian, masyarakat tempatan lazimnya memakai jubah putih, kain shimagh merah/putih di atas kepala bagi lelaki manakala wanita pula, mereka akan memakai jubah dan purdah hitam. Bila kita lihat seseorang itu memakai jubah berwarna, ia menunjukkan bahawa mereka bukan warga tempatan.

3) Berdikari

Hidup di perantauan sudah pasti memupuk dan melatih hidup lebih berdikari. Oleh itu, anda perlu bekerjasama dengan pelajar-pelajar lain bagi memudahkan urusan hidup di universiti. Kerjasama amat penting terutamanya dalam soal kewangan dan kecemasan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

4) Berjalan

Alang-alang sudah berada di negara orang, kita boleh manfaatkan untuk mengambil ibrah, berjalan-jalan di kawasan bersejarah yang menarik. Seperti di Madinah pastinya mempunyai sejarah penting dengan permulaan agama Islam. Jarak yang dekat dengan Mekah juga membolehkan para pelajar untuk mengerjakan umrah.

5) Biasiswa

Ini antara kelebihan belajar di Arab Saudi. Walaupun tempoh permohonan dan keputusannya agak lama, namun penantian itu tidak sia-sia. Kerajaan Arab Saudi sebagai negara yang mewah hasil daripada sumber petroleum, pengurusan haji dan umrah menyediakan biasiswa lumayan kepada pemohon yang berjaya, antaranya

a) Tiket penerbangan pergi dan balik (setahun sekali)

b) Asrama penginapan percuma

c) Duit poket sara diri (850 Riyal sebulan)

d) Yuran pengajian percuma

e) Duit buku pengajian (840 Riyal setahun)

f) Saguhati 1,000 Riyal (untuk pelajar cemerlang bagi dua semester berturut-turut)

g) Bahasa mudahnya, jika dikurniakan rezeki belajar di sini, hanya perlu ‘bawa badan’ sahaja kerana keperluan yang lain disediakan.

Artikel Terkini