HomeBuletin“Bergelar OKU bukan penghalang untuk berjaya” - Graduan UKM

“Bergelar OKU bukan penghalang untuk berjaya” – Graduan UKM

Pada mulanya, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Naimah Nizam, 22, tidak mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri kerana kekurangan yang dimilikinya sekali gus meletakkan dia sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Meskipun begitu, kekurangan yang dihadapi itu tidak pernah dijadikan sebagai halangan untuk mencapai cita-citanya selama ini iaitu bergelar pensyarah satu hari nanti.

Naimah dilahirkan dengan mata sebelah kirinya tidak dapat melihat dan menjalani kehidupan hanya dengan sebelah mata namun dia tetap berusaha menjalani kehidupan sebagai pelajar seperti rakan-rakan normal yang lain.

Buktinya, dia berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Falsafah dengan keputusan 3.82 malah bergiat aktif dalam Sekretariat Mahasiswa OKU di UKM serta pernah menjawat jawatan sebagai Naib Yang Dipertua dalam organisasi itu.

“Jika orang lihat saya, tidak nampak saya ini pelajar OKU kerana rupa fizikal seperti individu normal tetapi saya tetap mempunyai kesukaran dan cabaran sendiri sepanjang meneruskan pengajian di UKM kerana penglihatan terhad.

“Tahun pertama memulakan pengajian di UKM, saya berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus.

“Jika pelajar lain mengambil masa selama beberapa hari saja untuk membiasakan diri dengan persekitaran kampus dan jalan yang perlu dilalui untuk ke kuliah sebaliknya saya memerlukan satu semester untuk berbuat demikian,” katanya kepada GPSBestari ketika dihubungi selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-49, yang diadakan baru-baru ini.

Berkongsi cabaran lain yang dihadapi sepanjang menyambung pengajian di UKM, Naimah berkata penglihatan yang terhad itu juga menyebabkan diri perlu sentiasa duduk di tempat paling hadapan di dalam kelas.

“Pada mulanya ia agak sukar kerana tradisi di fakulti ialah pelajar lelaki akan duduk di depan, manakala perempuan di belakang tetapi lama kelamaan ia lebih mudah selepas saya menjelaskan mengenai masalah saya kepada mereka.

“Saya bersyukur kerana sepanjang pengajian, rakan-rakan tidak pernah lokek menghulurkan bantuan di saat memerlukan cuma kadang-kala saya yang segan untuk meminta pertolongan kerana tidak mahu menjadi beban kepada mereka,” kongsinya yang kini menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam jurusan pengajian Islam.

Bagi pelajar di luar sana yang berdepan masalah kurang keyakinan diri kerana kekurangan fizikal atau bergelar OKU, Naimah berkata mereka perlu mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di universiti.

“Saya sarankan supaya mereka banyak bergaul dengan rakan-rakan menerusi kelab atau persatuan kerana dari situ kita dapat meningkatkan keyakinan diri, mengasah kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang ramai.

“Saya sendiri tidak pernah menyangka di sebalik kekurangan ini, saya mampu menjadi pemimpin dalam komuniti pelajar, dipilih sebagai pengarah program serta menjadi pengacara majlis.

“Semuanya terletak pada keazaman diri kita sendiri untuk bangkit mencabar diri dan melakukan yang terbaik demi kecemerlangan serta kejayaan di masa depan,” ujarnya mengakhiri perbualan.