HomeIPTBuletin IPTInkubator ‘Campus Brew’, lahirkan usahawan kopi dalam kalangan mahasiswa

Inkubator ‘Campus Brew’, lahirkan usahawan kopi dalam kalangan mahasiswa

Kopi merupakan antara minuman yang paling digemari. Ini termasuklan penuntut universiti. Di pasaran dalam negara kita terdapat pelbagai jenis kopi mengikut kualiti dan harga. Ada yang mahal dan ada yang berpatutan.

Justeru, disebabkan permintaan ramai dalam kalangan mahasiswa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, juga tidak terkecuali mewujudkan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman berasaskan kopi melalui projek ‘Inkubator Campus Brew’.

Usaha ini merupakan anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD).

Profesor Dr Haim Hilman Abdullah merasmikan projek Inkubator Campus Brew, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah, projek berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa merasai dunia sebenar perniagaan dengan menjual kopi.

“Inkubator ini mendapat bimbingan dari CEDI dan syarikat kopi ‘He & She’ selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan pembabitan pelajar dalam aktiviti perniagaan semasa dalam pengajian sebanyak 19 peratus dan enam peratus graduan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan pada 2022.

“Masa depan anak-anak bergantung dengan apa yang kita corakkan, jadi usahawan kopi bukan sekadar menjual kopi, malah, dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran dan mengasah kebolehan dalam membentuk minda bercirikan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

“Beribu jenama kopi yang terdapat di pasaran tetapi kita mahu menjadi jenama yang besar disebut-sebut orang untuk melahirkan usahawan kopi yang berjaya dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Haim Hilman menyeru agar pelajar-pelajar memberikan perkhidmatan terbaik, layanan sepenuh hati dan berkualiti supaya dapat menarik pelanggan.

Antara menu manisan yang turut dijual di kafe berkenaan.

Tambahnya, sebagai usaha membangunkan pelajar menjadi pengusaha kopi demi memartabatkan agenda pembangunan keusahawanan, Anjung Tamu telah dipilih untuk dijadikan pusat perniagaan.

“Saya berharap perjuangan jihad ekonomi diteruskan dan tanggungjawab ini haruslah dipikul oleh graduan bagi memastikan ekonomi masyarakat kukuh dan berdaya saing.

“Pada masa yang sama mahasiswa sebagai generasi berani, dinamik dan kalis cabaran perlu berani bangkit, berdiri sendiri serta membantu membangunkan ekonomi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Profesor Madya Dr Jauriyah Shamsuddin berkata, pengangguran dalam kalangan graduan meningkat berikutan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang lalu.

“Di Malaysia, pengangguran mencecah 768,700 orang atau 4.8 peratus berdasarkan laporan perangkaan terkini tahun 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dan lebih 4,000 syarikat gulung tikar.

“Keadaan ini amat meresahkan kerana dunia sekarang menghadapi krisis ekonomi kritikal dan menyedari hakikat ini, CEDI merancakkan aktiviti keusahawanan sebagai solusi agar graduan dapat mencipta kerjaya setelah menamatkan pengajian kelak,” ujarnya.

Sambungnya, inkubator ini merupakan organisasi yang menyediakan persekitaran positif untuk menyokong pembangunan usaha niaga dan syarikat baru.

“Untuk tujuan ini, inkubator menyediakan ruang untuk operasi pejabat, khidmat nasihat perniagaan dan hubungan rangkaian antara firma penyewa, pembekal serta pelanggan yang berpotensi.

“Dengan adanya program Inkubator Campus Brew ini yang berkonsepkan inkubator perniagaan kopi di UUM menyediakan prasarana inkubator bagi pelajar UUM sepenuh masa sebagai ‘inkubatee’ dalam menguruskan perniagaan dan mendapat bimbingan daripada syarikat pemain kopi industri yang bertindak sebagai mentor industri dalam membimbing perniagaan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Ong Soon Lee, berkata, inkubator ini menyediakan ilmu dan pengalaman berharga kerana 20 peserta akan menjalani latihan daripada krew He & She selama dua bulan.

“Pembabitan peserta-peserta dalam program ini adalah secara sukarela dan saya sangat teruja dapat menyertainya dan berjanji akan memberikan komitmen tinggi pada masa sama tidak mengabaikan pelajaran,” katanya.

Artikel berkaitan 

UPM galak mahasiswa sertai kelas asas selam skuba

Kelab Usahawan Francais pupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar

Universiti tawar kursus kokurikulum BSMM, pupuk semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok