Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau
Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau

Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau

Roshlawaty Md Raieh
04 Oct 2022 11:30am
A
A
A

Di Malaysia, terdapat beberapa spesies ketam yang boleh didapati secara mudah di pasaran.

Ada ketam bunga, ketam nipah, ketam batu, ketam biru, ketam bakau, ketam lumpur dan sebagainya.

Setiap spesies ketam mempunyai rasa, bentuk dan saiz yang berbeza mengikut habitat dan spesies.

Malah, terdapat juga spesies ketam yang sering dikaitkan dengan khasiat dalam menyembuhkan penyakit iaitu ketam nipah yang digunakan untuk mengubati demam denggi.

Permintaan tinggi terhadap ketam-ketam tersebut sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada populasi haiwan itu.

Justeru itu, penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tampil menjalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam iaitu ketam bakau.

Melalui Institut Akuakultur dan Tropika (AKUATROP) UMT, kajian yang dijalankan bukan hanya tertumpu kepada ketam sahaja, malah penubuhan AKUATROP telah membuat pelbagai bidang kajian berkaitan pengkulturan, pembiakbakaan, pembenihan dan lain-lain terhadap udang, ketam, ikan, belangkas, kuda laut dan lain-lain.

Penyelidik UMT, Profesor Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah berkata, pelbagai inisiatif telah dijalankan terhadap pembenihan ketam bakau bagi meningkatkan populasi spesies tersebut di Setiu, Terengganu.

Ketam betina mampu mengeluarkan ribuan telur pada satu-satu masa.

“Program khas telah dijalankan sejak 2014 di tanah lembap Setiu. Objektifnya adalah untuk menghasilkan formulasi makanan bagi larva dan induk ketam bakau; meningkatkan kematangan kelenjar reproduksi (gonad) induk ketam bakau dan kualiti; serta kadar hidup benih ketam itu.

“Kita juga mengkaji keberkesanan sistem kandang ketam terhadap jumlah populasi ketam bakau di habitat semula jadi serta mengkaji keberkesanan aktiviti ternakan ketam dalam sistem kandang.

“Seterusnya, hasil kajian turut mendapati bahawa terdapat peningkatan populasi ketam di kawasan tersebut selepas penganjuran program yang melibatkan masyarakat setempat dilaksanakan secara bersama di mana UMT telah mendapatkan induk ketam,” ujarnya.

Ketam nipah.

Sambung Dr Mhd Ikhwanuddin, AKUATROP juga berjaya menambah baik teknologi penghasilan benih ketam bakau di lokasi memproduksi benih (Hatcheri) selain mewujudkan pusat penetasan benih ketam secara semula jadi di kawasan tanah lembap tersebut.

Jelasnya, usaha itu bukan sekadar untuk kegunaan penyelidikan, malah peningkatan populasi ketam turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti setempat.

Ia mencerminkan hubung kait antara sebuah gedung ilmu yang memiliki kepelbagaian bidang kepakaran dalam memberikan faedah dan manfaat kepada masyarakat setempat.

Projek seperti itu juga turut menterjemahkan slogan ‘Universiti Untuk Masyarakat’.

Artikel berkaitan 

Kumpulan Serpihan UMT juarai Ocean Challenge 2022, bawa pulang hadiah bernilai RM7,500

Nurul Izzati sebak ditawar biasiswa zakat sepanjang pengajian

Kelab UMTAC, KMUCK mahu lahir pemanah negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok