USIM4
USIM4

USIM bantu rawatan gigi dan pemeriksaan kesihatan percuma masyarakat Orang Asli

Norliza Wasilan
21 Oct 2022 02:33pm
A
A
A

Bagi meluaskan jangkauan khidmat komuniti, Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan kesihatan serta rawatan gigi percuma kepada masyarakat Orang Asli.

Seramai 40 kakitangan dan pelajar fakulti berkenaan mengambil bahagian dalam program yang memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk Kampung Orang Asli Panchor, Rompin, Negeri Sembilan.

Sukarelawan berkenaan melakukan rawatan tampalan dan cabutan gigi secara percuma selain membuat pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah.

Kegigihan sukarelawan ketika menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Panchor, Rompin, Negeri Sembilan. Foto/USIM.

Menurut Naib Canselor USIM, Profesor Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, pihaknya berbesar hati dapat menyumbang khidmat kepada masyarakat setempat.

“Sesuai dengan hasrat USIM Cemerlang, USIM Disayang, kami begitu berbesar hati dapat terbabit sama menyumbang kepakaran dan pengetahuan kepada masyarakat setempat.

“Diharapkan, dengan sumbangan ini, USIM mendapat tempat di hati masyarakat dan program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya seperti dipetik laman sesawang universiti itu.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diberikan kepada masyarakat Orang Asli. Foto/USIM.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali; Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr Ainudin Yushar Yusof.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung seperti mini sukaneka, pertandingan mewarna, sumbangan kit oral dan lawatan ke rumah.

USIM juga menyumbangkan kerusi roda, lampin pakai buang dan susu kepada pesakit Orang Kurang Upaya (OKU) selain turut melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Program berkenaan adalah pembabitan universiti itu dalam siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) peringkat Negeri Sembilan yang diadakan sekitar Bandar Seri Jempol, baru-baru ini.

Sukarelawan menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) dengan membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma. Foto/USIM.

Antara pembabitkan USIM dalam siri jelajah itu ialah program outreach KPT Prihatin Komuniti Sejahtera yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Fakulti Pergigian USIM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Sementara itu, ketua masyarakat Kampung Orang Asli Panchor, John Baharyn, melahirkan penghargaannya atas sumbangan dan khidmat yang diberikan kepada mereka.

“Program komuniti sejahtera yang diadakan sempena JAKM ini wajar diluaskan ke kampung-kampung lain yang berdekatan kerana ramai penduduk mendapat manfaat yang baik.

“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kerana telah memilih perkampungan ini sebagai lokasi jelajah komuniti prihatin,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

22 penyelidik UMP tersenarai 2 peratus Saintis Terbaik Dunia

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang

Pentingnya bahasa Arab dalam pendidikan hari ini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok