Latihan industri beri peluang pelajar berkhidmat di Korea Selatan
Latihan industri beri peluang pelajar berkhidmat di Korea Selatan

Latihan industri beri peluang pelajar berkhidmat di Korea Selatan

Roshlawaty Md Raieh
22 Nov 2022 09:42am
A
A
A

Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi untuk menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam industri yang dipilih, sama ada dalam atau luar negara mengikut jangka masa yang ditetapkan pusat pengajian masing-masing.

Menerusi latihan industri ini, ia memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari serta mendapat pendedahan amalan kerja dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Menyedari pentingnya latihan industri tersebut kepada para pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil inisiatif mengadakan jalinan kolaborasi bersama beberapa syarikat industri di Korea Selatan dalam usaha membuka peluang kepada mahasiswa mereka menjalani latihan industri di negara berkenaan.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraannya, Profesor Madya Ts Dr Ismail Saad, antara syarikat industri dan universiti di Korea Selatan yang berkolaborasi adalah Donghai-Holesaw Co Ltd, KD Seal Co Ltd, Sesung Co Ltd, Universiti Kebangsaan Seoul dan Universiti Chosun.

Ujarnya, jalinan kerjasama itu adalah bagi membantu penempatan latihan industri dan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua belah pihak kelak.

Sementara itu, seramai 13 pelajar UMS telah melapor diri untuk bertugas di beberapa organisasi di Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Mereka menjalani latihan industri selama 10 minggu di Donghai Holesaw, Sesung, Goonworld dan KD Seal Tech Co.

Dalam pada itu, Naib Canselor universiti tersebut, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kerjasama berkenaan merupakan salah satu usaha universiti dalam meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan selain merealisasikan agenda pengantarabangsaan universiti melalui hubungan baik yang terjalin bersama pihak industri luar negara.

“Sudah pasti pengalaman menjalani latihan industri di negara maju akan memberi kelebihan kepada pelajar universiti ini sekali gus menyumbang kepada tenaga sumber manusia yang kompeten dan berdaya saing di Malaysia khususnya di Sabah.

“Pada masa yang sama, kerjasama ini juga meningkatkan lagi keterlihatan kampus di mata global seiring dengan Bidang Tujahan Utama (KRA) ke-3 universiti iaitu Global Prominence,” jelas beliau.

Artikel berkaitan 

UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT

Tip siapkan FYP bagi pelajar tahun akhir

4 tip jalani latihan industri buat pelajar IPT


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok