Rifqah dan Munajjah unggul dalam sukan catur, pasangan adik beradik aktif catur sejak dari kecil

Pasangan adik beradik, Puteri Rifqah Fahada, 22, dan Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar, 21, memilih untuk bergiat aktif dalam sukan catur sejak kecil lagi bagi meneruskan legasi keluarga yang sudah lama menceburi sukan berkenaan.

Seawal umur lima tahun, Puteri Rifqah sudah mula bermain catur manakala adiknya, Puteri Munajjah mendapat tunjuk ajar mengenai sukan itu ketika berumur empat tahun.

Sejak itu, kedua-dua mereka tidak menoleh ke belakang lagi apabila berpeluang menyertai pelbagai pertandingan catur di dalam dan luar negara termasuklah mewakili Malaysia ke kejohanan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu.

Lebih manis lagi, penyertaan dua pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menerusi kategori berkumpulan berjaya menyumbang pingat gangsa untuk Malaysia.

Berkongsi mengenai pembabitan awal dalam sukan catur, Puteri Rifqah berkata, dia mula menyertai pertandingan ketika berumur enam tahun dan semasa berada di Tahun Satu, dia berpeluang menyertai kejohanan catur peringkat kebangsaan.

“Ketika itu saya mewakili negara ke World Youth Chess Championship yang diadakan di Turki bagi kategori bawah umur tetapi tidak berjaya memenangi sebarang pingat sebaliknya pengalaman yang diperoleh adalah sangat berharga.

“Bayangkan seawal umur tujuh tahun saya terpaksa berdikari tanpa ditemani ibu bapa untuk menyertai pertandingan di luar negara sebaliknya pergi bersama-sama ahli pasukan yang lain dan dari situ saya belajar berdikari serta berdepan dengan lawan yang bukan calang-calang dari pelbagai pelosok dunia,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari, baru-baru ini.

Raih pingat

Pada 2011, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi itu akhirnya berjaya meraih satu pingat emas dan perak dalam kejohanan catur di peringkat antarabangsa menerusi pertandingan ASEAN Primary School Sport Olympiad yang diadakan di Indonesia.

Memandangkan perlu memberi tumpuan kepada peperiksaan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2012, Puteri Rifqah memperlahankan aktivitinya dan membuat keputusan untuk tidak menyertai sebarang pertandingan ketika itu.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada lima adik beradik itu kembali beraksi pada 2013 apabila terpilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA yang diadakan di Myanmar dan menyertai World Chess Olympiad di Norway pada 2014.

Puteri Rifqah sekali lagi mencipta kejayaan apabila mendapat tiga pingat gangsa dalam ASEAN Age Group Chess Championship di Macau pada 2014 dan tiga pingat emas di kejohanan sama pada 2015 yang diadakan di Singapura.

Menajamkan fikiran

Mengulas mengenai pandangan bahawa sukan catur mampu mengasah dan menajamkan kemahiran berfikir, pelajar yang berasal dari Banting, Selangor itu berpendapat pergerakan dan strategi yang disusun ketika bermain catur sememangnya menyumbang kepada teknik berfikir seseorang individu.

“Seperti yang kita tahu, bermain catur ini memerlukan seseorang individu itu untuk mengira dan mengambil 10 langkah di depan berbanding pihak lawan menyebabkan minda sentiasa berfikir apakah strategi dan pergerakan terbaik yang boleh dilakukan.

“Permainan catur terbahagi kepada tiga jenis iaitu standard, rapid dan blitz yang mempunyai ketetapan masa berbeza-beza menyebabkan pemain catur perlu bijak menepati masa dan mengatur langkah yang bersesuaian dengan tempoh masa sesuatu perlawanan,” jelasnya.

Sementara itu, bagi memastikan prestasi mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memuaskan, Puteri Munajjah pula berkata, sesi latihan dilakukan kira-kira empat jam sehari, bergantung kepada waktu terluang sekiranya tidak perlu menghadiri sesi kuliah.

“Saya dan kakak mendapat tunjuk ajar daripada ayah, Azhar Mohd Said, 58, serta abang, Muhd Syakir Shazmeer Azhar, 28, yang sebelum ini turut bergiat aktif dalam sukan catur.

“Dibimbing oleh keluarga sendiri malah berpeluang bergandingan bersama kakak ketika menyertai beberapa pertandingan di dalam dan luar negara memberikan keseronokan dan sedikit kelebihan kerana kami sudah memahami perangai, kemahiran dan strategi masing-masing,” ujarnya lanjut.

Seperti kebanyakan atlet sukan lain, Puteri Rifqah dan Puteri Munajjah turut berdepan cabaran tersendiri sejak lebih 15 tahun menceburi permainan catur termasuklah terkeluar daripada senarai skuad senior kerana perlu memberi lebih tumpuan kepada bidang akademik.

Puteri Rifqah mula tersenarai dalam skuad senior pada 2014 tetapi terpaksa menerima hakikat apabila terkeluar pada 2018 sekali gus menyebabkan dirinya tidak berpeluang menyertai World Chess Olympiad 2018 yang diadakan di Georgia.

Bagi pelajar di luar sana yang meminati sukan catur, kedua-dua atlet kebangsaan ini menitipkan pesanan supaya teruskan mencuba kerana ia merupakan sukan yang tidak memerlukan pergerakan lasak tetapi menuntut ketahanan mental dan daya fikir yang tinggi.

“Ramai orang boleh main catur, tetapi mungkin ada yang tidak tahu kemahiran atau teknik yang betul.

“Jadi disarankan supaya belajarlah perlahan-lahan untuk menguasai kemahiran serta strategi dalam sukan ini.

“Berbekalkan latihan yang berterusan, penguasaan dalam sukan ini pastinya dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa dan jangan lupa juga asah kemahiran dengan menyertai pelbagai jenis pertandingan,” tuturnya.

Puteri Rifqah Fahada
World Chess Olympiad 2014, Tromso, Norway (memperoleh gelaran Woman Fide Master)
ASEAN Age Group Chess Championship 2015, Singapura (3 emas)
Woman Master 2016 ( Juara )
World Chess Olympiad 2016, Baku, Azerbaijan (Emas Kategori C)
ASEAN University Games 2018, Myanmar (Emas)
GACC International Intervarsity Chess Championship 2019 (Emas)
Majlis Sukan Universiti (MASUM) 2020 (Emas berpasukan, perak individu)
GACC International Intervarsity Chess Championship 2020 (Perak)
2020 FISU World University Championship
• Asian Univeristy Chess Championship 2020
• 2020 Fide Online Chess Olympiad
• Asian University Chess Championship 2021 (Gangsa)
• 2021 Fide Online Chess Olympiad (Johan Division 3 Pool A)
• Prague Open & Marienbad Open
• Sukan SEA 2021 (Gangsa)
• MASUM 2021 (1 emas, 1 perak)
• MASUM 2022 (1 gangsa, 1 emas)

Puteri Munajjah Az-Zahraa
2012- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Gangsa Individu)
2013- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Perak)
2014- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Perak)
2015- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Emas Berpasukan)
2016- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Emas Berpasukan)
2017- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Emas Berpasukan)
2018- Pertandingan Catur MSSM (Pingat Emas Individu), World Olympiad
2019- Malaysian Women’s Champion, Eastern Asian Championship (Pingat Emas)
2020- World Online Olympiad, FISU World University
2021- Asian University Championship (Pingat Gangsa)
World Online Olympiad (Juara Group C)
Women’s World Cup
Pertandingan Catur Majlis Sukan Universiti (MASUM) (2 emas, 1 gangsa)
2022- Pingat gangsa berkumpulan Sukan SEA 2021, pingat gangsa Marienbad Open

Artikel berkaitan

17 tip wajib tahu jika anda hendak mula bermain catur

Aplikasi permainan STEM ChesuTi, mudah belajar Matematik semasa lockdown

Pulau Pinang beri insentif, biasiswa sukan kepada atlet negeri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok