Inilah senarai 5 pelajar Malaysia yang berjaya menempa nama di universiti luar negara!
Inilah senarai 5 pelajar Malaysia yang berjaya menempa nama di universiti luar negara!

5 pelajar Malaysia yang berjaya menempa nama di universiti luar negara

Rasyidah Zulkifi
28 Sep 2022 05:04pm
A
A
A

Melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi terutama di universiti-universiti baik dalam negara mahupun luar negara pastinya menjadi idaman setiap pelajar.

Pelajar-pelajar cemerlang ini adalah harapan ibu bapa, keluarga, masyarakat dan juga negara yang disasarkan untuk menjadi suri teladan serta generasi pelapis pemimpin masa depan negara.

Yang penting, apabila mereka berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara, ia bukan sahaja membawa nama negara ke mata dunia tetapi secara tidak langsung merupakan duta kecil negara.

Malaysia sebenarnya tidak pernah sunyi daripada melahirkan anak-anak muda tempatan yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.

Tidak kiralah kejayaan yang dilakar sama ada dalam pelajaran mahupun kerjaya, ternyata pencapaian mereka ini bukan sahaja membuka mata masyarakat tetapi turut memberi harapan kepada pelajar-pelajar lain bahawa di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Sehubungan itu, Sinar Bestari minggu ini menyenaraikan lima pelajar tempatan yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

*****

IRDINA SHAHRIMAN

MEMPEROLEH keputusan 4 flat secara konsisten dari 2018 hingga 2021, pemegang Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik, Virginia Tech (VT), Amerika Syarikat (AS) ini dianugerahkan pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan atas pencapaian akademik tertingginya. Anak muda yang berasal dari Subang Jaya, Selangor, ini juga menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 mahasiswa di VT. Kini, Irdina sudah berada di Malaysia dan berkhidmat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

MARYAM BALQIS ABDUL RASHID

SEKARANG bekerja sebagai Pengurus Projek di Arizona, AS, penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) ini pernah mengharumkan nama negara sekitar tahun 2019. Maryam Balqis meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 di Arizona State University (ASU) dalam kursus pertama yang ditawarkan di universiti berkenaan iaitu program Sustainability.

DR FARAH SHAHEERA ROSLAN

PERNAH mendapat pendidikan di Kolej INTEC, Selangor dan International Medical University, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di University of Nottingham, United Kingdom (UK). Doktor muda yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, ini berjaya mencipta inovasi hijab pakai buang untuk petugas-petugas barisan hadapan di hospital yang beragama Islam di UK. Berkhidmat di Northampton General Hospital, sumbangannya ini bukan sahaja dicalonkan dalam British Muslim Award, malah, beliau turut mendapat pengiktirafan NHS Leadership Academy Award. Tidak terhenti setakat itu, usaha Farah Shaheera turut meraih pujian daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

FAKHIRAH KHAIRUDDIN

PERJALANAN kariernya bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kota Putra (Ulul Albab), Terengganu. Fakhirah kini merupakan lepasan Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal di University of California (UC), San Diego, California dan telah dipilih oleh syarikat gergasi AS untuk bekerja sebagai pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di kilang Tesla sejak Julai lalu. Bidang tugasnya adalah untuk membimbing jurutera Tesla mengenai robotik FANUC serta Kuka. Beliau yang menetap di bandar Fremont, California, sebelum ini pernah berkhidmat di UC sebagai Jurutera Pembangunan Propulsi dan pernah menjadi Ketua Pasukan Penyelidik bagi Projek Hexacopter bersama UC.

LISA NUR MARINI MOHD KAMAL

PENERIMA biasiswa Petronas ini pernah mengharumkan nama negara apabila diberikan peluang untuk berucap di hadapan 7,000 warga University of Wisconsin-Madison, AS, sempena hari konvokesyennya di universiti berkenaan sekitar 2019. Walaupun dilahirkan di AS, Lisa Nur Marini dalam ucapannya memberitahu dia telah dibesarkan di Malaysia. Menerusi laman sesawang University of Wisconsin-Madison, Profesor Jabatan Geosains, Laurel Goodwin menceritakan Lisa memilih melanjutkan pengajian dalam analisis mikropro elektron yang sangat mencabar sehingga dianugerahkan Biasiswa Junior Lowell R. Laudon Cemerlang dari Jabatan Geosains dan anugerah ‘On To the Future’ daripada Persatuan Geologi Amerika.

Artikel berkaitan

Membanggakan! 4 pelajar Malaysia diterima sambung pengajian ke Akademi Tentera AS

Membanggakan! 2 sekolah tersenarai dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

MyUni Tutor tawar tuisyen percuma kepada pelajar bakal duduki SPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan