HomeKomunitiKetagih permainan video? Pakar perubatan keluarga kongsi jalan penyelesaiannya

Artikel Berkaitan

Ketagih permainan video? Pakar perubatan keluarga kongsi jalan penyelesaiannya

 

Bermain permainan video sememangnya merupakan satu perkara yang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi selepas seharian penat bekerja dan melayan kerenah anak.

Walaupun ia sesuatu yang baik, semua perkara yang menyeronokkan perlulah dikawal agar masalah ketagihan tidak timbul kelak.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Prof Datin Dr Sherina Mohd Sidik, beliau menjelaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebenarnya telah mengklasifikasikan masalah ketagihan permainan video atau gaming disorder sebagai masalah kesihatan mental.

“Berdasarkan maklumat yang dinyatakan di dalam The 11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11) pada tahun 2018, ketagihan permainan video bermaksud corak tingkah laku terhadap permainan video yang bercirikan gangguan kawalan terhadap permainan, keutamaan terhadap permainan melebihi aktiviti harian atau minat yang lain, dan kesinambungan atau peningkatan permainan walaupun pemain telah mengalami kesan negatif,” jelasnya.

Prof Datin Dr Sherina Mohd Sidik


Beliau turut menyatakan bahawa terdapat banyak kajian yang menunjukkan ketagihan permainan video boleh mempengaruhi kesihatan fizikal, psikologikal dan fungsi sosial pemain.

“Ketagihan menyebabkan pemain mengalami tekanan, perubahan corak pemakanan dan tidur, kurang tumpuan semasa belajar atau bekerja dan kurang pergaulan sosial.

“Kesan paling serius ketagihan termasuk kegagalan belajar, kehilangan pekerjaan dan kegagalan hubungan,” ujarnya.

Dr Sherina juga menjelaskan bahawa dari segi kajian klinikal, ulasan komprehensif terhadap beberapa hasil kajian di peringkat antarabangsa turut menunjukkan kaitan antara ketagihan permainan video online, gejala Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) serta kemurungan.

“Terdapat juga perkaitan antara ketagihan permainan video dan masalah gangguan kerisauan. Sejauh mana kaitan ketagihan aktiviti ini dan kesihatan mental di Malaysia perlu dikaji secara terperinci,” jelasnya.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/


Oleh itu, Dr Sherina yang juga merupakan Timbalan Pengarah Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) Universiti Putra Malaysia (UPM) itu ada mencadangkan cara-cara untuk mengurangkan risiko masalah ketagihan permainan video khususnya dalam kalangan pelajar seperti di bawah:

1. Pelajar yang menggemari permainan video seharusnya peka dengan jumlah masa yang diperuntukkan untuk aktiviti permainan, terutamanya apabila aktiviti harian yang lain mula diabaikan serta terdapat sebarang perubahan terhadap kesihatan fizikal atau psikologikal dan fungsi sosial yang disebabkan oleh corak tingkah laku permainan video.

2. Pelajar perlu menyusun jadual harian dengan sebaiknya bagi memastikan pengurusan masa yang berkualiti. Pelajar perlu memastikan kekerapan dan tempoh masa permainan video adalah terkawal. Hadkan aktiviti ini untuk beberapa jam sahaja dalam sehari.

3. Pelajar perlu peka terhadap perubahan corak tingkah laku diri. Sekiranya pelajar mengalami kesan seperti hilang minat terhadap aktiviti harian, gangguan emosi dan penumpuan serta prestasi pelajaran merosot, mereka perlu segera berhenti bermain. Pelajar boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor dan pakar psikiatri sekiranya perlu.

4. Peranan sokongan oleh rakan-rakan, pensyarah dan ahli keluarga kepada pelajar yang mengalami masalah ketagihan juga adalah amat penting. Berkomunikasi secara kerap dengan mereka boleh mengalih perhatian dan tumpuan mereka daripada permainan video dan membantu mereka untuk pulih.

Artikel Terkini