157 pekerja Flex  berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing di Universiti Sains Malaysia (USM).
157 pekerja Flex berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing di Universiti Sains Malaysia (USM).

Pembelajaran sepanjang hayat, 157 pekerja Flex tamat pengajian

AZLEENDA SAHALUDIN
23 May 2023 08:28pm
A
A
A

Baru-baru ini, seramai 157 pekerja Flex telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing di Universiti Sains Malaysia (USM).

Kesemua mereka berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Profesional Pengurusan dan Kepimpinan Strategik (PMISML); Ijazah Eksekutif dalam Pengurusan Pembuatan (EDMM); Sijil Profesional dalam Pengurusan Penyeliaan (PCISM) dan Sijil Profesional dalam Pengurusan Projek (PCIPM).

Menurut Naib Presiden Operasi Flex, Viswanathan Paramasivam, pencapaian tersebut membuktikan para pekerja Flex mampu mencapai potensi dengan mempromosikan budaya inklusif dan pembangunan berterusan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa berusaha menjaga kebajikan semua pekerja termasuklah melabur dalam pembangunan kendiri.

“Setiap pekerja kami berperanan dalam membangunkan produk hebat kepada pelanggan setiap hari melalui bakat, semangat dan kepakaran mereka.

“Dengan tamatnya pengajian dalam kursus-kursus ini jelas membuktikan mereka juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan graduan-graduan hebat yang lain.

“Bukan itu sahaja, ia juga untuk menambah ilmu pekerja Flex agar mereka boleh mempertingkatkan kualiti diri masing-masing,” katanya pada majlis graduasi yang diadakan di Dewan Budaya USM, Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Gs Dr Narimah Samat.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian tersebut menyaksikan Flex memenuhi salah satu matlamat utama kemampanan Flex 2030 iaitu menyediakan persekitaran kerja yang selamat, inklusif dan dihormati untuk semua pekerja.

Ini termasuklah menjadikan tempat kerja sebagai rangsangan untuk meningkatkan pengalaman dan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi setiap kakitangan berkembang maju.

Untuk itu, sepanjang 10 tahun lalu, Flex telah menaja sepenuhnya lebih dariapda 1,000 pekerja untuk melanjutkan pelajaran dengan Kerjasama kolej dan universiti tempatan.

Kini Flex Malaysia mempunyai 12 kilang dan pejabat pengurusan yang beroperasi di seluruh Pulau Pinang, Selangor dan Johor dengan 20,000 pekerja selain merupakan salah satu majikan terbesar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam industri.

Bukan itu sahaja, Flex juga pernah memperoleh pelbagai pengiktirafan dan anugerah antaranya Anugerah Kecemerlangan HR 2022 dan Anugerah Kemampanan dan CSR Malaysia 2022.

Tahun ini, Flex telah memenangi anugerah Majikan Terbaik, Anugerah Utama dan Majikan Pilihan serta Anugerah Emas atas usaha konsisten dalam penjagaan alam sekitar di samping mengutamakan kebajikan pekerja serta pembangunan bakat dan potensi pekerja.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok