HomeGen AlphaAktivitiAktiviti kokurikulum bangkitkan semangat patriotik

Aktiviti kokurikulum bangkitkan semangat patriotik

Seramai 3,238 mahasiswa diploma dan ijazah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil kursus badan beruniform, manakala 1,285 yang lain mendaftar kursus kokurikulum berteraskan sukan, kebudayaan, keusahawanan, kepimpinan, pengucapan awam, khidmat komuniti, daya usaha dan inovasi.

Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Zaliman berkata, sebanyak 57 kursus ditawarkan kepada pelajar seperti PALAPES, Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Relasis dan pelbagai lagi.

Tambahnya, selepas ini St John Ambulans, Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Young Mercy) dan badan beruniform Bomba dan Penyelamat pula akan dinaik taraf sebagai Kor. 

“Jumlah yang besar itu telah memberi impak yang positif dalam aspek perpaduan dan jati diri kepada mahasiswa UniMAP keseluruhannya.

Zaliman (paling depan) bergambar kenangan dengan mahasiswa yang menyertai badan beruniform UniMAP.

“Melalui kemahiran-kemahiran yang dipelajari menerusi aktiviti kokurikulum, ia mampu melahirkan graduan yang berketerampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan bernilai murni seterusnya memberikan impak yang besar terhadap kebolehpasaran graduan. 

“Semangat perpaduan yang diterapkan ini akan membantu membentuk semangat patriotik yang tinggi agar dapat membendung budaya negatif yang kian agresif pada masa kini,” katanya pada Majlis Perbarisan Penutup Latihan Tahunan Badan Beruniform UniMAP 2022, baru-baru ini.

Selain itu, terdapat juga program-program UniMAP yang dirancang untuk memupuk semangat berpasukan dalam kalangan pelajar tanpa mengira agama, warna kulit dan bangsa.

Sementara itu, seorang anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) UniMAP,  Muhammad Alif Zuhaili Shafarin berkata dengan menyertai badan beruniform berkenaan dapat menyuntik semangat patriotik dalam diri sekali gus menjadi nilai tambah kepadanya apabila bergelar graduan kelak.

“Jiwa saya kosong jika tidak menyertai mana-mana badan beruniform, justeru saya mengambil peluang ini untuk bergiat aktif dengan menyertai Suksis. 

“Lebih menarik, saya berpeluang menggunakan senjata api dan dapat mengenali Ketua Polis Perlis dengan lebih dekat lagi, selain berada dalam lingkungan rakan-rakan yang sentiasa mengutamakan disiplin walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya.

Bagi seorang ahli BSMM, Nur Fitri Rahman berkata semasa berada di bangku sekolah menengah, dia menyertai badan beruniform yang lasak seperti kadet polis dan kadet koreksional.

“Jadi, saya menyertai BSMM kerana ingin mengetahui dan mendalami cara memberi bantuan kecemasan dengan betul. 

 “Bukan itu sahaja saya juga dapat mengenali rakan-rakan berbangsa Cina dan berpeluang mempelajari bahasa mereka yang secara tidak langsung merapatkan ukhuwah sesama kami,” katanya.

Artikel berkaitan

Ambil semangat Bulan Kemerdekaan, PERMAS aktif menganjurkan pelbagai program dalam usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik

Kebenaran aktiviti sukan, kokurikulum di luar bilik darjah bermula Isnin ini – Radzi

Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok