HomeGen ZTipIni 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

Apabila berbicara mengenai doktor gigi, rata-rata akan memberitahu tugasnya adalah berkaitan dengan kesihatan mulut seperti memeriksa, mencabut, menampal dan membersihkan gigi serta melakukan pembedahan pada mulut juga rahang.

Hakikatnya, tugasan seperti membuat diagnosis ke atas pesakit untuk mengetahui apa jenis kerosakan gigi atau masalah mulut yang dihadapi pesakit juga perlu dilakukan.

Menurut Doktor Mohd Khairul Izwan Abdul Wahab, 34, untuk bergelar doktor gigi, ia memerlukan seseorang itu berjiwa kental dan mempunyai hati yang kuat.

Tambahnya, perkara yang paling penting ialah tidak boleh takut dengan darah dan geli dengan hal berkaitan rongga mulut seseorang.

“Mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor gigi perlulah persiapkan diri daripada awal dengan perkara-perkara yang berkaitan seperti darah dan juga kebersihan mulut.

“Ini penting kerana persiapan awal mampu mengelakkan diri daripada fobia atau timbul masalah yang boleh menjejaskan diri di kemudian hari,” ujarnya yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai pegawai pergigian awam di Hospital Kulim, Kedah.

Perkara yang paling penting bagi seseorang doktor gigi ialah tidak boleh takut dengan darah dan geli dengan hal berkaitan rongga mulut seseorang.

Meneruskan perbualan, beliau memberitahu walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik, prosedur operasi standard (SOP) dalam rawatan pergigian tetap diutamakan.

“Kalau sebelum ini persekitaran klinik tidak begitu tertutup, sekarang kita menyediakan bilik khusus rawatan gigi bagi mengelakkan penularan virus Covid-19.

“Pesakit yang datang perlu melakukan ujian saringan terlebih dahulu untuk memastikan mereka bebas daripada virus.

“Ini kerana Covid-19 banyak terdapat dalam rongga pernafasan dan mulut kita, jadi apabila kita bekerja dengan mulut pesakit ia merupakan tempat yang menyebarkan viru itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Doktor Mohd Khairul turut berkongsi enam tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi.

***

  1. Simpati dan empati

Tugas doktor apabila bekerja dalam bidang kesihatan adalah untuk merawat makhluk hidup. Sifat simpati dan empati penting bagi setiap pengamal perubatan pergigian demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit ibarat merawat keluarga sendiri. Ini kerana mereka bukan mesin, jadi sifat ini akan memudahkan rawatan pergigian kepada pesakit.

2. Sentiasa menuntut ilmu pengetahuan

Untuk menjadi seorang doktor gigi, tidak boleh berhenti belajar kerana ilmu sentiasa berkembang terutamanya dalam bidang kesihatan. Setiap hari akan ada pesakit, keadaan fizikal serta mental yang baharu dan sekiranya malas belajar ilmu akan terhenti setakat itu sahaja. Ia akan menyukarkan seseorang doktor beradaptasi dengan penambahbaikan rawatan pergigian kepada pesakit dari semasa ke semasa.

3. Rajin bertanya

Semua doktor baharu perlu banyak bertanya kerana sifat malu cenderung untuk ‘sesat jalan’. Jika malu bertanya dengan rakan sejawat, ia berkemungkinan boleh menimbulkan kemudaratan dan mendatangkan risiko kepada pesakit. Ini kerana pengalaman diperolehi melalui apa yang dihadapi setiap hari dan melalui orang lain. Walaupun mempunyai pengalaman sendiri ia masih tidak mencukupi untuk manfaat masa depan.

4. Peka dengan keadaan sekeliling

Seorang doktor gigi tidak boleh merawat pesakit melalui apa yang didengari daripada pesakit itu. Contohnya, jika pesakit mempunyai masalah gigi, doktor perlu bertanya perkara berkaitan gaya hidup yang lain-lain seperti makan, minum, tidur dan sebagainya. Ini bermakna doktor perlu peka dengan keseluruhan keadaan pesakit itu sendiri.

5. Minat dalam bidang Sains

Sains merupakan satu cabang pendidikan penting jika ingin meneruskan kerjaya sebagai doktor gigi. Jika tidak meminati subjek ini, ia akan menimbulkan kesukaran untuk memahami istilah perubatan yang sememangnya digunakan semasa rawatan pergigian dilakukan.

6. Kemahiran berkomunikasi dan interpersonal yang baik

Interpersonal yang baik membantu melancarkan proses rawatan pergigian tanpa sebarang masalah. Ketika melakukan rawatan, doktor gigi akan berkomunikasi dengan pesakit bagi meredakan rasa gemuruh. Hasilnya, orang ramai yang pernah terima rawatan akan menguar-uarkan perkhidmatan doktor itu kepada pesakit lain.

Artikel berkaitan

7 watak penting di klinik pergigian kerajaan, jom kenali mereka!

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid

Penyelidik UM hasilkan ToothPoly, inovasi didik murid jaga kesihatan gigi

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok