Ibu bapa disaran jaga kesihatan mental anak-anak melalui sukan

Iklan
basikal
Pastinya ramai ibu bapa memahami betapa sukarnya untuk mengekalkan motivasi anak-anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan, apatah lagi apabila sesi permainan bersemuka serta interaksi sosial dengan rakan-rakan telah berkurangan.Sekiranya ia tidak ditangani, keadaan ini boleh menyebabkan ‘kelesuan pembelajaran di rumah’.Menurut ahli Psikologi Perkembangan dan Felo Pengajar Kanan, Universiti Sunway, Elaine Yong, masalah ini berpunca daripada dua faktor iaitu kelelahan dan kebosanan."Sungguhpun tiada jalan pintas untuk mengatasi keletihan dan kebosanan, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah bijak bagi membantu mencegah kelesuan pembelajaran di rumah."Mulakan dengan menetapkan rutin harian yang mudah namun konsisten adalah terbaik," ujarnya.Tambah beliau, jadikan rutin harian satu norma kebiasaan dapat membantu anak-anak menyesuaikan diri dan ia semudah menyelesaikan tiga atau empat tugasan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dan disusun mengikut urutan kegemaran atau tahap kesukaran.Sepanjang tempoh PKP, ulas Elaine, sempadan antara pembelajaran dan istirahat telah menjadi kabur. Meskipun istirahat penting untuk kesihatan mental anak-anak, aspek ini kurang diberikan perhatian."Pada hari rehat tersebut, galakkan anak-anak untuk berjinak-jinak dengan hobi atau bersukan," sarannya lagi.[caption id="attachment_27501" width="300"] Berjoging antara sukan yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga.[/caption]Tuturnya lanjut, sukan dapat membantu memelihara kesihatan mental anak-anak dan ia cara positif untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti tidur.Katanya, apabila anak-anak kekal cergas, ia dapat membantu meningkatkan tahap perhatian dan fokus mereka. Badan yang cergas mengaktifkan minda.[caption id="attachment_27503" width="300"] Orang ramai disarankan melakukan aktiviti bersukan di sekitar kawasan perumahan bersama keluarga selama 30 minit, dua kali seminggu.[/caption]Walaupun pandemik dan pelbagai sekatan fizikal telah menjejaskan aktiviti sukan, ibu bapa digalakkan untuk memastikan anak-anak kekal aktif di rumah dan kecergasan fizikal kritikal untuk pertumbuhan otot dan tulang.Dalam pada itu, dengan kebanyakan negeri telah beralih ke Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Nasional, rakyat kini dapat memanfaatkan aktiviti riadah luar rumah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar.Elaine menyarankan orang ramai melakukan aktiviti berjalan kaki, berbasikal atau berjoging di sekitar kawasan perumahan bersama keluarga selama 30 minit, dua kali seminggu."Tiada masalah bagi mereka yang memilih untuk berada di rumah, kerana rumah dapat diubah kepada zon aktif dengan mudah," katanya.