Universiti Utara Malaysia (UUM) buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik di Asia dalam penarafan QS Asia University Rankings 2022 yang diumumkan semalam.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kedudukan UUM di tangga ke-98 berbanding 107 tahun lalu merupakan pencapaian terbaik universiti.
Menurut beliau, pencapaian itu sekali gus membuktikan bahawa segala perancangan yang dilakukan sejak bermulanya Pelan Strategik UUM pada 2011 sememangnya tepat dan universiti berada di landasan betul.
"Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan saban tahun merupakan usaha bersama yang patut dibanggakan setiap warga UUM memandangkan sukar untuk mendapat tempat dalam senarai universiti terbaik dunia, apatah lagi di Asia kerana ia melibatkan reputasi sesebuah universiti.
"Kita berjaya tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia ini berdasarkan peningkatan dalam reputasi dari sudut akademik dan reputasi majikan. Pencapaian tersebut dibantu dengan elemen atau asas yang dirangka dalam pelan strategik berkaitan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan membangun mahasiswa secara holistik.
[caption id="attachment_28400" width="400"] Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah.[/caption]
"Di samping itu, kualiti kurikulum yang dirangka juga mendapat kepercayaan ahli akademik luar yang impaknya dapat dilihat melalui jumlah akreditasi yang diterima, sekali gus menunjukkan kualiti kurikulum UUM merupakan antara yang terbaik dan terjamin sehingga memberi keyakinan kepada majikan terhadap kualiti graduan yang kita hasilkan,” katanya.
Ujar Prof Haim Hilman lagi, universiti akan terus memperkukuhkan jenamanya bukan sekadar di persada nasional, malah antarabangsa agar kepercayaan dan keyakinan terhadap reputasi UUM meningkat.
"Saya berharap agar warga UUM dapat melipatgandakan usaha bekerja secara berpasukan bagi menjayakan agenda universiti termasuk Gagasan Gemilang Akademia & Admin Holistik (GAGAH) kerana masih banyak yang perlu dilaksanakan untuk meletakkan UUM sebaris dengan universiti-universiti ternama dunia," jelasnya.