TAWAU - Undang-Undang Model membabitkan hal ehwal sekolah agama termasuk sekolah tahfiz akan dibentuk untuk menjadi garis panduan dan pemakaiannya bakal diselaras di setiap negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Fuziah Salleh berkata ketika ini, undang-undang berhubung penubuhan atau pendaftaran sekolah tahfiz di setiap negeri adalah berbeza.
"Di bawah Enakmen Pengawalan sekolah-sekolah Agama Negeri, sekolah tahfiz tidak digariskan atau berdefinisi sebagai sekolah agama selain terdapat sekolah yang sudah berdaftar tetapi bermasalah ekoran tidak mencapai tahap keselamatan dikehendaki pihak berkuasa tempatan atau Bomba.
"Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) mencadangkan untuk menyelaras semua undang-undang serta garis panduan berkaitan kaedah pentadbiran sekolah tahfiz dan ia disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan konvensyen wanita rahmah peringkat negeri Sabah di sini kelmarin.
Beliau berkata selepas itu, Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan bagi menyelaras undang-undang dengan mengambil elemen terbaik dari setiap negeri untuk dimasukkan dalam garis panduan dan dibentuk sebagai Undang-Undang Model.
"Apabila ia dipersetujui sebagai Undang-Undang Model, maka setiap negeri akan menggunakannya dan akhirnya kita mahu semua isu berbangkit seperti pendaftaran serta keselamatan khususnya, tidak berulang," katanya sambil menambah bahawa tanpa undang-undang itu, adalah sukar untuk mengambil tindakan terhadap sekolah tahfiz tidak berdaftar jika berlaku perkara tidak diingini.
Fuziah berkata satu pusat pengumpulan dana atau tabung khas untuk wakaf tahfiz akan diwujudkan susulan cadangan timbalan perdana menteri.
"Tabung itu hanya satu dibangunkan oleh kementerian (hal ehwal agama) dan tidak boleh tabung persendirian, kita akan salurkan sama seperti kementerian (pendidikan) salur kepada sekolah-sekolah," katanya.
Ketika berucap, beliau mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Madrasah Ad-Diniah Ar-Rahmaniah di Kampung Sungai Imam dekat sini, yang menempatkan 40 pelajar perempuan, musnah dalam kebakaran semalam.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Sabah Samin Ongki turut mengumumkan sumbangan RM7,000 hasil kutipan derma kilat pada konvensyen hari ini.
Dalam kebakaran pukul 6.50 petang itu, dua lelaki dilaporkan melecur di kaki ketika cuba menyelamatkan pelajar madrasah yang berada dalam bangunan dua tingkat berkenaan. - Bernama
Artikel Menarik:
'Kerana sering gatal kepala, Cikgu Aisham nekad kutip kutu murid. Buang tepi jijik, kotor, geli'
'Cutipun murid datang sekolah' - Rimba Kecil berjaya selesaikan masalah kehadiran SK Sayong Pinang
'Tak sangka dia boleh lukis macam ni' - Guru Bahasa Melayu terkejut tengok buku karangan pelajar
Patutlah hari persaraan dapat hadiah jongkong emas, bukan 'kaleng-kaleng' cikgu sukan ini
'Saya tak pernah makan ayam sesedap ini, cikgu' - Tangisan pelajar B40 buat ramai sedih