UUM meterai MoU martabatkan keusahawanan

Iklan
Untitled design

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima syarikat untuk kerjasama dalam memartabatkan agenda keusahawanan.

Iklan
Iklan

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, MoU itu membabitkan kerjasama dengan syarikat yang akan menjadi mentor industri Program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (BENT MOD) 2u2i.

Iklan

Tambahnya, pemeteraian tersebut merupakan yang pertama bagi UUM dan juga rakan industri, justeru beliau berharap mentor dan pihak universiti akan saling berhubung untuk memastikan pelajar dapat memberikan komitmen tinggi demi mengubah masa depan mereka.

Iklan

"Berbekalkan pengalaman dalam industri yang sangat signifikan, saya yakin para mentor dapat membantu memimpin anak didik untuk bangun dengan berani menceburi bidang keusahawanan.

"Saya juga berharap mentor industri dapat membantu UUM persiapkan pelajar-pelajar tersebut di peringkat industri. Curahkan ilmu dan pengalaman agar suatu hari nanti mereka  menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada universiti, malah kepada mentor industri itu sendiri.

"Marilah kita bekerja bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama, terus menolong dan membimbing. Saya harap dan percaya banyak syarikat akan turut serta untuk bersama membina negara lebih baik,” katanya.

Lima syarikat tersebut terdiri daripada Jelitasara Corporate Sdn Bhd, Kasyaf Bina Sdn Bhd, Aulad Pintar Education Sdn Bhd, Ambang Dorongan Sdn Bhd dan OS Startup Sdn Bhd.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Profesor Dr Salniza Md Salleh berkata, beliau berterima kasih kepada semua pengusaha syarikat yang sudi untuk menjadi mentor industri.

"Seramai 11 pelajar kohort pertama dipilih bagi mengikuti BENT 2u2i sejak diperkenalkan pada 2019 dan universiti berharap dapat melahirkan ramai usahawan yang akan mencipta pekerjaan, bukan sebagai pencari pekerjaan.

"Semoga mentor industri ini dapat berkongsi pengalaman dan ilmu-ilmu perniagaan dengan pelajar demi memastikan UUM dapat melahirkan graduan berketerampilan untuk berjaya,” tuturnya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Kasyaf Bina Sdn Bhd, Zamani Mohamad, beliau berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama dengan UUM bagi program 2u2i untuk penempatan pelajar dalam industri bagi tempoh dua tahun.

Katanya, melihat kesungguhan UUM telah mendorongnya untuk mendidik dua pelajar universiti tersebut menjadi  usahawan berjaya pada masa hadapan.

2u2i adalah program pembelajaran berasaskan pekerjaan yang memberi pendedahan industri kepada pelajar sepanjang pengajian mereka.

Pelajar akan menghabiskan tempoh dua tahun di universiti dengan memberi tumpuan kepada aspek-aspek teori dan dua tahun di industri bagi menimba pengalaman pembelajaran terus.

Program itu bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan melalui kerjasama akademik dan industri dengan pendekatan penyampaian secara Work-based Learning.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/