Buku teks merupakan bahan penting untuk pendidikan. Ia menjadi sumber rujukan utama kepada guru dan pelajar dalam pembelajaran di sekolah.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), penulisan buku teks adalah berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Kandungan buku teks semasa adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Kandungannya disusun sebegitu rupa untuk memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Namun begitu, timbul persoalan berkenaan sejauh manakah buku teks mampu memberikan pengetahuan yang berkesan kepada pelajar.
Ada yang berpendapat, buku teks membosankan dan ada pula mengatakan buku teks tebal dan menyukarkan untuk proses mengulang kaji.
Menurut Cikgu Herryan Syah Tupan Surian yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 1, Kulai, dan kini menjawat jawatan sebagai Pegawai School Improvement Specialist Coach (Sisc+) di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor, buku teks tetap menarik dan ia boleh menjadi sumber yang sangat berkesan jika digunakan dengan cara yang betul.
"Ada strategi dalam menjadikan buku teks sebagai bahan pembelajaran yang menyeronokkan.
"Dengan ini, saya kongsikan beberapa perkara menarik untuk guru dan pelajar hadamkan,” ujarnya.
Mari ikuti apa kata Cikgu Herryan Syah mengenai buku teks seperti yang dipetik menerusi blog mudah.mengajar.com
*****
Buku teks? Sejauh manakah kita memanfaatkan buku teks kepada tahap paling maksimum? Adakah kita menggunakannya sebagai sumber pembelajaran yang berkesan?
Umum mengetahui dalam peperiksaan awam, semua jawapan datangnya daripada buku teks.
Namun, ramai antara kita yang berpandangan buku teks membosankan dan tidak dinamik.
Antara sebabnya adalah persembahan buku teks yang ringkas dan maklumat yang minima.
Bagaimanapun, buku teks boleh menjadi sumber yang sangat berkesan jika digunakan dengan cara yang menarik.
Mari kita lihat tentang buku teks dan langkah memanfaatkannya. Antara beberapa strategi yang akan digunakan adalah:
1. Bina rasa ingin tahu
2. Jalinkan dengan pengetahuan sedia ada
3. Bina kepantasan membaca
4. Wujudkan interaksi aktif dengan buku
5. Rangsang untuk mencambahkan idea
6. Memudahkan menghafal
7. Bina kecekapan dalam menganalisis maklumat
Selain daripada perkara di atas, guru boleh menggunakan buku teks dengan cara yang kreatif.
Antaranya adalah:
1) Tangkap layar (screenshot) bahagian tertentu
Guru boleh tangkap layar bahagian maklumat tertentu pada buku teks dan minta murid bincangkan dalam kumpulan Whatsapp atau Telegram kelas. Guru boleh ajukan soalan dan murid respon bentuk mesej dalam kumpulan.
2) Kenal pasti muka surat (ayat, perenggan, gambar rajah)
Murid boleh berlatih mengingati fakta dengan lebih baik jika mereka perlu mengenal pasti muka surat ke berapa mereka boleh mendapatkan maklumat tertentu dan cara ini boleh dijadikan aktiviti.
Selain murid mudah menghafal, mereka juga lebih peka dengan kandungan penuh buku teks serta melihat perkaitan antara satu unit ke satu unit.
Murid juga dapat menggunakan pemikiran logik mereka dengan membuat jangkaan lokasi muka surat berdasarkan susunan topik.
3) Rakaman audio nota buku teks
Selain sekadar membaca, buku teks juga boleh dibacakan secara lisan dan dirakamkan. Hal ini menukar buku teks menjadi seolah-olah audiobook. Murid boleh mendengarnya sambil melakukkan kerja rumah atau kerja-kerja harian.
4) Rumusan muka surat buku teks
Murid boleh diminta membaca sesuatu topik dan membuat rumusan nota. Rumusan boleh dibuat dalam bentuk perenggan atau peta minda atau sebarang bentuk gambar rajah.
5) Susunan turutan maklumat buku teks
Antara aktiviti menarik dan mudah adalah mengambil beberapa bahagian dalam buku teks dan murid perlu menyusun mengikut turutan. Konsep ini sama seperti cara nombor dua yang menjadikan murid mudah menghafal dan peka dengan kandungan buku teks.
6) Teka isi berdasarkan tajuk
Selain memahami dan mencerna maklumat, murid juga boleh membina perasaan ingin tahu. Perasaan ingin tahu ini menjadikan murid berminat dan berfikir lebih kritis. Oleh itu, guru boleh berikan tajuk dan murid perlu meneka isi kandungan topik tersebut.
7) Bina soalan berdasarkan topik
Pada penghujung sesuatu topik, murid juga digalakkan untuk membina soalan. Soalan-soalan ini adalah kemuncak maklum balas murid terhadap topik yang dipelajari.
Hal ini disebabkan mereka telah faham dan ingin tahu sesuatu yang lebih membina eksplorasi maklumat mereka sendiri.
8) Cloze Text
Selain menyusun maklumat dan mengingati muka surat, aktiviti-aktiviti mengisi tempat kosong juga dapat membantu murid menjadi peka.
Murid perlu melengkapkan tempat kosong dengan mencari maklumat dalam buku teks.
Murid pasti suka aktiviti ini. Apatah lagi jika dijadikan pertandingan pastinya mereka akan bergerak pantas.
9) Jigsaw
Murid boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan terbahagi kepada lima murid bahagian A, B, C, D dan E. Mereka baca bahagian masing-masing dan kemudian berbincang bersama ahli kumpulan lain dengan bahagian yang sama.
Setelah beberapa minit perbincangan berlangsung mereka kembali kepada kumpulan asal, seterusnya menyampaikan maklumat kepada ahli kumpulan masing-masing.
Dengan panduan dan tip, diharapkan makin berkembanglah idea kita dalam menjadikan buku teks sebagai sumber pembelajaran yang sangat dinamik.
Yang penting, kita sebagai guru perlu kreatif dan bijak mempelbagaikan kegunaan buku teks.
Sumber: Blog mudah.mengajar.com
Artikel berkaitan
Permainan puzzle tidak melekakan, ini 5 manfaat yang guru dan pelajar dapat. Memang berbaloi!
Kisah murid dan kasut yang ketat buat ramai menitiskan air mata
Mengapa murid asyik main game? Nah, ini 13 faktor yang buat mereka leka dan abaikan pelajaran