Tular kisah seorang budak lelaki membuat liputan mengenai penemuan ular sawa besar di Kedah menerusi Facebook Live.
Klip video berdurasi dua minit 47 saat itu jelas memaparkan kepetahan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau ini dalam berkata-kata membuatkan warganet terhibur dengan gayanya melaporkan berita.
Sejak tular, Muhammad Haziq Muhammad Asyraf, 12, menerima banyak undangan antaranya diberi berpeluang oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon untuk menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani.
Baca juga KBS cadang wujudkan liga bola sepak kompetitif untuk bakat cilik
Baca juga Pelajar 12 tahun tunjuk bakat jadi wartawan dapat perhatian ramai
Haziq yang meminati kerjaya bomba berasa gembira apabila impiannya untuk menaiki jentera tersebut menjadi kenyataan. Selama ini, dia hanya melihat gerak kerja bomba melalui video sahaja. Bertuah sungguh Haziq.
Terbaru, Haziq juga telah diberi peluang untuk menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di Alor Setar.
Sudah tentu dia berasa teruja kerana hasratnya untuk bertemu dengan Perdana Menteri secara bersemuka tercapai.
Dalam sesi temu bual secara santai itu, Haziq mengenakan uniform anggota JBPM.
Antara soalan yang ditanyakan Haziq termasuklah berkaitan umur, rutin harian, makanan dan minuman kegemaran serta perancangan Perdana Menteri jika beliau diberi peluang untuk menerajui negara 10 tahun lagi.
Pertemuan tersebut pastinya akan dikenang seumur hidup oleh Haziq.
Haziq yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu selain petah berbicara, dia gemar membuat rakaman tutorial masakan lalu memuat naik video masakan tersebut di media sosial.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Antara kepakarannya adalah memasak kek marble, roti bawang putih, donut dan siakap tiga rasa. Ini membuatkan para guru dan rakan menggelarnya dengan nama Chef Haziq.
Difahamkan, Haziq pernah menerima tempahan roti dan burger Malaysia dari kakitangan klinik dan hospital.
Murid sekolah rendah berkenaan juga dikatakan berangan-angan untuk memiliki perniagaan bakeri sendiri suatu hari nanti.