Tidak jemu didik anak murid membaca, Cikgu Ahmad Safarman bekerjasama dengan guru kelas pemulihan

Iklan
safar3

Membina kemahiran membaca dalam kalangan murid merupakan satu cabaran utama guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang agak panjang.

Iklan
Iklan

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan tempoh pembelajaran secara bersemuka di sekolah juga menyebabkan murid-murid semakin hilang minat untuk belajar membaca.

Iklan

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah juga berdepan situasi sama di mana terdapat anak muridnya yang masih tidak menguasai kemahiran membaca kerana pelbagai faktor.

Iklan

"Apabila berdepan masalah murid-murid yang tidak tahu atau lambat menguasai kemahiran membaca, saya akan bekerjasama dengan guru kelas pemulihan khas untuk membantu mereka di mana setiap kali subjek Bahasa Melayu, saya akan memberikan lembaran kerja untuk dijawab.

"Selain itu juga, semasa di dalam kelas saya akan memberi lebih perhatian kepada murid ini dengan menyediakan soalan atau bahan mengikut aras penguasaan mereka.

"Jika ada masa terluang pula, saya akan memanggil mereka untuk duduk bersama di meja guru dan mengajar bagi merangsang minat untuk terus belajar,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Laksana program NILAM

Tambah Cikgu Ahmad Safarman lagi, sebelum munculnya virus Covid-19 dan PKP dilaksanakan, ibu bapa yang mempunyai anak dikategorikan lambat membaca akan dipanggil untuk sesi perjumpaan bersama guru bagi membincangkan masalah ini.

Selain itu, bengkel pemulihan membaca juga diadakan pada hari minggu dan murid-murid turut didedahkan dengan buku bacaan setiap kali mengikuti kelas NILAM di Pusat Sumber Sekolah.

"Program NILAM merupakan penggabungan atau adunan kesemua aktiviti galakan membaca yang pernah dan sedang dijalankan di sekolah dengan memberikan pengiktirafan yang sesuai kepada murid.

"Program ini merupakan satu pendekatan untuk mengatasi masalah yang menghalang penyuburan tabiat membaca dalam kalangan murid seterusnya melahirkan murid yang suka membaca dan menggalakkan warga sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai amalan murni berkenaan,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai program NILAM, Cikgu Ahmad Safarman yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Hebat Bahasa Peringkat Negeri Perak berkata, menerusi program berkenaan murid-murid diberi peluang untuk berkongsi mengenai buku cerita yang dibaca.

"Di dalam kelas subjek Bahasa Melayu yang berjalan selama satu jam, guru memberi penerangan tentang aktiviti dan kepentingan NILAM manakala murid mendapatkan sebuah buku dan mula membaca.

"Beberapa orang murid dipilih ke hadapan kelas untuk menceritakan tentang buku yang dibaca dan diikuti dengan sesi soal jawab.

"Guru kemudian memilih murid yang mampu menyampaikan cerita terbaik dengan memberikan sedikit ganjaran dan berharap membaca akan terus menjadi amalan kepada warga sekolah khasnya murid-murid,” jelasnya.

Berdepan pelbagai cabaran

Seperti warga pendidik lain, penerima Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds itu juga berdepan cabaran dalam mendidik dan membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan ini.

"Cabaran paling besar pernah dihadapi sepanjang mendidik murid-murid untuk mahir dan minat membaca adalah tiada sokongan daripada ibu bapa kerana sebenarnya minat serta mahir membaca bermula dari rumah, bukannya mengharapkan sekolah semata-mata.

"Ramai dalam kalangan murid saya tinggal bersama nenek atau datuk yang buta huruf, dibelenggu kemiskinan dan lahir daripada keluarga yang berantakan sekali gus menyebabkan pembelajaran mereka akan terabai dan mengharapkan sokongan daripada guru di sekolah semata-mata,” kongsinya.

[caption id="attachment_35009" width="600"] Guru Bahasa Melayu di SK Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah.[/caption]

Sehubungan itu, Cikgu Ahmad Safarman yang juga penerima Tokoh Guru NILAM, Peringkat Daerah Hulu Perak menitipkan nasihat kepada ibu bapa supaya mendidik anak-anak mencintai ilmu pengetahuan.

"Berusaha dan cintailah ilmu pengetahuan kerana dari ilmu akan melahirkan insan yang bersahsiah, cemerlang, beradap serta cerah masa hadapan malah mungkin satu hari nanti mampu menggoncang dunia.

"Ibu bapa atau penjaga juga haruslah sentiasa meluangkan masa untuk bersama anak-anak serta membantu dalam aktiviti bacaan. Apabila ada dorongan dari rumah, sudah pasti mereka akan turut bersemangat untuk meningkatkan kemahiran membaca di sekolah,” ujarnya.

PROFIL

Nama penuh: Ahmad Safarman Dollah

Tarikh lahir: 14 Februari 1979

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan

Kedudukan dalam keluarga: Anak bongsu daripada enam adik-beradik

Jawatan di sekolah : Guru Kelas Tahun 6, Penyelaras Tahun 6, Ketua Panitia Sejarah

Kelulusan akademik: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) dan Diploma Pengajian Melayu (KPLI)

Pencapaian: Anugerah Guru Inspirasi Mcdonalds

Guru Cemerlang Hebat Bahasa Peringkat Negeri Perak

Tokoh Guru NILAM, Peringkat Daerah Hulu Perak.