Menjengah antara muka enjin pencarian terbesar dunia, Google pasti akan terlintas animasi doodle khas kelibat individu sedang melukis berlatarbelakangkan komputer.
Individu terbabit merupakan kartunis dan perintis animasi negara ini iaitu Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail.
Allahyarham Kamn dilahirkan di Pengkalan Balak, Melaka pada tahun 1956 dikenali sebagai pencipta dan pengarah siri animasi tempatan pertama, Keluang Man yang merupakan superhero pertama negara ini malah memainkan peranan penting dalam merubah landskap animasi tempatan.
Pada hari ini, Allahyarham Kamn menjangkau usia 67 tahun, mula jatuh cinta terhadap seni lukisan ketika kecil dan menyimpan impian menjadi artis komik.
Ketika remaja, kemahirannya menarik perhatian syarikat filem McMillen untuk memantau aspek kreatif filem berjudul Paper Tiger.
Dia jatuh cinta dengan lukisan semasa kecil dan bermimpi untuk menjadi seorang artis komik. Ketika dia masih remaja, kemahirannya menarik perhatian Syarikat Filem McMillen, yang mengupahnya untuk mengawasi aspek kreatif filem berjudul Paper Tiger.
Kemahiran Allahyarham Kamn membuka peluang untuk bekerja dengan Kharisma Pictures dan melatih juruanimasi syarikat terbabit dan mengarahkan siri televisyen animasi pertama Malaysia, Usop Sontorian, pada tahun 1996.
Allahyarham menjadi pengarah di UAS Animation Studios dengan membangunkan karya legenda siri animasi Keluang Man dengan menggabungkan animasi dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D). Ia sekali gus membantu memodenkan industri animasi tanah air.
Allahyarham Kamn yang juga bekas Presiden Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) meninggal dunia pada usia 63 tahun akibat serangan jantung selepas hampir dua bulan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2019.
Antara pencapaian Allahyarham Kamn ialah meraih anugerah Filem Animasi Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) pada 2004 dan 2005 melalui animasi Kumang Legenda Sarawak dan Animasi Legenda Kinabalu.
Bagi mengenang jasa Allahyarham Kamn, Rumah Kartun dan Komik Malaysia bersama ANIMAS menobatkan arwah sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia pada malam Anugerah Kartunis dan Hari Kartunis pada 2018.