Israk dan Mikraj: Ini yang perlu guru dan pelajar tahu mengenai peristiwa luar biasa dilalui Rasulullah SAW

Iklan
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah. Kredit foto: Unsplash

Di negara ini, hari memperingati peristiwa Israk dan Mikraj disambut pada 27 Rejab setiap tahun.

Bagi tahun ini, Israk dan Mikraj jatuh pada 18 Februari dan ia merupakan detik penting dalam sejarah Islam.

Iklan
Iklan

Secara ringkasnya, Israk merupakan perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram, Makkah ke Masjidil Al-Aqsa, Palestin dengan menaiki buraq, manakala Mikraj pula bermula dari Masjid Al-Aqsa hingga ke Sidratulmuntaha.

Sinar Bestari tertarik perkongsian Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai peristiwa ini.

Iklan

Dalam perkongsian itu, dinyatakan Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Firman ALLAH SWT:

Iklan

Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

(Surah Al-Isra’, ayat 1)

Bagi mengetahui dengan lebih jelas peristiwa Israk dan Mikraj, Sinar Bestari senaraikan kronologi peristiwa untuk pengetahuan bersama terutama kepada golongan guru dan pelajar.

Ini ringkasannya!

1) Israk

Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibril dari Masjidil Haram ke Masjidil Al-Aqsa dengan menunggang Buraq.

Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril dengan air suci zamzam.

Sepanjang perjalanan ke tempat-tempat tertentu iaitu tempat mulia dan bersejarah, Rasulullah telah diarah Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

• Negeri Thaibah (Madinah) iaitu tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

• Bukit Tursina, tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada ALLAH.

• Baitul-Laham, tempat Nabi Isa AS dilahirkan.

Semasa dalam perjalanan, baginda telah melalui pelbagai peristiwa antaranya baginda melihat kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.

Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai.

Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad ‘Fisabilillah’ yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Diringkaskan kisah ini lagi, setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq.

Kemudian, baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah terasa dahaga lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya.

Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

2) Mikraj

Peristiwa Mikraj pula bermula dari Masjid Al-Aqsa kemudian baginda diangkat ke langit dengan menaiki tangga dari syurga.

Rasulullah SAW bersama Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Baginda menaiki dari langit pertama hingga ke-10 dan di setiap langit baginda bertemu dengan para-para nabi dan melalui pelbagai peristiwa antaranya dapat melihat umat sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di langit ke-10 (tanpa ditemani Jibril), Rasulullah dapat menyaksikan ALLAH dengan matanya sendiri, lalu baginda sujud.

Dari pertemuan itu, baginda menerima wahyu dan perintah dari ALLAH iaitu penerimaan ibadah solat (yang mana ketika itu, baginda diperintahkan solat sebanyak 50 waktu.)

Kemudian dikurangkan menjadi 10 waktu.

Akhirnya, dikurangkan sebanyak lima waktu. Lima waktu yang kini kita lakukan setiap hari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Selepas Mikraj, baginda pulang ke Masjidil Haram dan menyampaikan wahyu serta perintah ALLAH solat lima waktu kepada umat di Makkah.

Ketika itu, ada yang percaya dan ada yang tidak sehingga ada yang murtad, keluar dari Islam.

Tetapi, sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila dikhabarkan kepadanya tentang peristiwa Israk dan Mikraj, beliau sedikit pun tidak ragu bahkan membenarkan malah lebih membenarkan sekiranya ada yang lebih hebat lagi daripada peristiwa tersebut.

Sejak itu, beliau diberi gelaran ‘As-Siddiq’ yang bermaksud ‘Yang Membenarkan’.

Mengenai sambutan Israk dan Mikraj di negara ini, Guru Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur, Ustaz Che Muhammad Amin Che Soh berkata, tidak salah untuk kita menyambutnya dengan cara mengadakan ceramah mahupun tazkirah yang membutirkan tentang kisah penting itu kepada umat Islam.

"Ia sebagai mengingatkan kepada Muslim tentang asal usul solat, maksud sembahyang dan sebab apa kita wajib tunaikannya. Itulah yang sebaik-baiknya.

"Tidaklah nanti kita melaksanakan perintah ALLAH itu hanya sekadar mengikut orang saja,” ujarnya seperti dipetik menerusi portal tempatan.