Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menerusi portal rasminya memaklumkan perubahan tarikh ujian Speaking (Lisan) bagi Malaysian University English Test (MUET) Sesi 1 2023.
Difahamkan, tarikh asal MUET Sesi 1 2023 pada 13 hingga 16 Mac 2023 dan 20 hingga 21 Mac 2023 telah ditukar kepada tarikh baharu iaitu 8 hingga 11 Mei 2023 dan 15 hingga 16 Mei 2023.
Perubahan tarikh ujian berkenaan disebabkan penyelarasan semula Takwim Persekolahan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kalendar Akademik Sesi 2023/2024.
Bagi pelajar yang akan menduduki MUET dan mahu mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari portal MPM di www.mpm.edu.my
Berbicara tentang MUET, di sini Sinar Bestari ingin kongsikan fakta ringkas tentangnya.
Sinar Bestari yakin ramai dalam kalangan pelajar mahu pun masyarakat tidak jelas apa itu MUET.
MUET ialah ujian Bahasa Inggeris yang dijalankan di peringkat pra universiti, matrikulasi, asasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Ia diperkenalkan untuk mengukur tahap penguasaan Bahasa Inggeris mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) dan juga untuk mereka yang bercadang melanjutkan pengajian ke IPT.
Ia wajib diambil oleh mereka yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di institut pengajian tinggi awam tempatan.
Komponen Ujian MUET
1) Terdapat empat jenis ujian dalam MUET iaitu
- 800/1 (Listening/Pendengaran) – Ujian mendengar selama 30 minit.
- 800/2 (Speaking/Lisan) – Ujian lisan selama 30 minit.
- 800/3 (Reading/Pemahaman) – Ujian pemahaman yang melibatkan soalan objektif selama 90 minit.
- 800/4 (Writing/Penulisan) – Ujian penulisan yang memerlukan calon menulis esei selama 90 minit.
2) Pemarkahan
Ujian MUET akan diberi markah berdasarkan berikut
- 800/1 (Listening/Pendengaran) – 45 markah.
- 800/2 (Speaking/Lisan) – 45 markah.
- 800/3 (Reading/Pemahaman) – 120 markah.
- 800/4 (Writing/Penulisan) – 90 markah.
Jumlah penuh ialah 300 markah dan keputusan akan diberi berdasarkan gred yang dinamakan sebagai Band.
3) Pemarkahan untuk semua Band
Band 6
- Penguasaan bahasa yang sangat bagus (jumlah markah 260-300). Fasih dan tepat dalam penggunaan Bahasa Inggeris serta menggunakan bahasa yang sesuai iaitu hampir-hampir tiada kesilapan.
Band 5
- Penguasaan yang bagus (jumlah markah 220-259). Fasih dan tepat dalam penggunaan Bahasa Inggeris serta menggunakan bahasa yang sesuai tetapi ada sedikit kesilapan. Pemahaman dan berfungsi dengan yang baik tentang bahasa dan konteks.
Band 4
- Penguasaan yang memuaskan (jumlah markah 180-219). Fasih dan tepat dalam penggunaan Bahasa Inggeris serta menggunakan bahasa yang sesuai tetapi ada beberapa kesilapan.
Band 3
- Penguasaan yang sederhana (jumlah markah 140-179). Sederhana dari segi ekspresi, kefasihan dan penggunaan Bahasa Inggeris yang sesuai tetapi ada kesilapan yang ketara.
Band 2
- Penguasaan bahasa yang terhad (jumlah markah 101-139). Kurang ekspresi, kefasihan dan ketepatan. Pengunaan bahasa tidak tepat yang menyebabkan salah faham dalam komunikasi. Pemahaman dan keupayaan yang terhad tentang bahasa serta konteks.
Band 1
- Penguasaan bahasa yang lemah (jumlah markah bawah 100). Tidak berupaya untuk mengekspresi. Pemahaman yang sedikit atau lemah tentang bahasa dan konteks serta hampir tidak berfungsi di dalam Bahasa Inggeris.
4) Persediaan pelajar
- Secara amnya persediaan yang boleh anda buat ialah
- Mengetahui aspek-aspek yang akan diuji
- Pemarkahan untuk setiap aspek
- Bentuk-bentuk soalan tahun lepas
- Persediaan dari segi tatabahasa atau grammar
- Persediaan dari segi kosa kata atau vocabulary
- Persediaan dari segi perbualan
5) Tempoh sah laku
- Keputusan MUET yang dikeluarkan sebelum tahun 2009, tempoh sah lakunya adalah sehingga 18 Julai 2013 manakala keputusan MUET yang dikeluarkan mulai 2009, tempoh sah lakunya ialah lima tahun mulai tarikh keputusan ujian dikeluarkan.
6) Bilakah ujian MUET akan berlangsung?
- Ujian MUET diadakan tiga kali setahun iaitu Mac, Julai dan November.
7) Kelayakan ke universiti
- Jika pelajar mendapat keputusan MUET lebih rendah dari Band 3, anda perlu mengambilnya semula untuk layak ke universiti. Ini kerana kebanyakan Universiti Awam di negara ini menerima minimum Band 3 untuk layak ke peringkat ijazah sarjana muda.