Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bertujuan meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan.
"Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
"Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac ini untuk memberi ruang kepada mereka untuk mendapat pekerjaan lumayan,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
PTPTN berfungsi untuk menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip bayaran balik pinjaman.
Selain itu, PTPTN yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) mula berkuat kuasa pada 1 Julai 1997 menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi.
Ia juga melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis.