Selain memperkasa pendidikan negara, tujuh teras utama yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini turut memberi penekanan kepada semua aspek merangkumi keperluan pelajar, ibu bapa dan guru.
Misalnya bagi teras kedua iaitu memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif.
Aspek karamah insaniah ini bukan sahaja diterap dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah malah turut diterapkan dalam pembelajaran di luar bilik darjah.
Dalam pembentukan karamah insaniah, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM telah mengadakan pelbagai program untuk membentuk murid-murid agar mempunyai jati diri, keperibadian yang luhur, keterampilan, kepemimpinan yang berilmu, amanah, cekap, integriti,proaktif dan lain-lain.
Katanya, antara program-program yang telah dilaksanakan KPM terdiri daripada
1) Simposium Hal Ehwal Murid (SHEM) peringkat kebangsaan yang dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberikan pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang melaksanakan amalan terbaik disiplin, kaunseling dan hak asasi manusia sebagai perkongsian kepada semua sekolah KPM.
2) Program Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah bertujuan melatih pemimpin-pemimpin dalam kalangan murid dengan memberi fokus kepada modul kepemimpinan Islam.
3) Menyedia dan melaksanakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni Dalam Kalangan Murid di semua sekolah KPM yang menekankan kepada pembangunan sahsiah, pengukuhan jati diri dan kekuatan akal.
4) Program dan penilaian Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di sekolah menengah yang menekankan kepada tiga teras utama iaitu berbudi bahasa, penampilan diri dan jati diri.
5) Menyediakan modul yang dilaksanakan dalam Kem Jati Diri dan Kem Pemantapan Sahsiah di sekolah KPM untuk melahirkan insan beradab mithali.
6) Menerbitkan Modul Pembentukan Karakter dan Nilai (MPKN) pada tahun 2022 bagi memperkasakan penerapan nilai dalam mata pelajaran Pendidikan Islam. MPKN dibina berasaskan 16 nilai murni sejagat.
7) Melalui kurikulum Pendidikan Moral, KPM telah mengambil beberapa pendekatan dalam melahirkan murid yang mempunyai jati diri tinggi. Nilai-nilai seperti hormat, harga diri, rasional, toleransi, kasih sayang, mematuhi peraturan dan undang-undang serta hemah tinggi didedahkan kepada mereka sebagai satu cara menerapkan tingkah laku terpuji dan memupuk jati diri dalam kalangan anak-anak didik.
Hui Ying berkata demikian sebagai menjawab soalan nombor 12 yang dikemukakan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Soalan Siti Zailah adalah berkaitan apakah modul pembangunan jati diri dan akhlak digunakan KPM yang terkini memandangkan ada sebahagian sikap kepimpinan negara sekarang bertentangan dengan apa yang diajar di sekolah seperti nilai integriti iaitu tidak mencuri, rasuah dan bercakap benar.
INFO
Tujuh teras utama KPM dalam menerajui sistem pendidikan negara
1) Komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.
2) Memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti.
3) Kemiskinan berbilang dimensi B40: Malnutrisi, peranti dan ruang belajar.
4) Keciciran pendidikan dan masalah literasi dan rapatkan kesenjangan pendidikan.
5) Kebajikan guru sebagai teras keberkesanan penyampaian pendidikan.
6) Ubah suai dan naik taraf sekolah daif terutama Sabah dan Sarawak.
7) Peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.