Melihat keadaan banjir di Johor yang semakin buruk sejak beberapa hari lalu, Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan membantu mangsa-mangsa bencana itu.
Seramai 60 sukarelawan telah digerakkan ke negeri itu bermula hari ini hingga 10 Mac 2023 bagi membantu membersihkan kediaman dan kemudahan awam yang terjejas.
Menurut Timbalan Naib Canselor ((Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed, keprihatinan para sukarelawan dalam menabur bakti dan meredah cabaran membantu mereka yang memerlukan perlu dijadikan contoh kepada masyarakat.
"Malaysia bersedih dengan tragedi banjir yang menimpa Johor baru-baru ini kerana ramai yang kehilangan harta, tempat tinggal yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan UUM yang seikhklas hati sudi terlibat dalam misi bantuan ini bagi membantu meringankan beban mangsa terutamanya ketika pasca banjir,” katanya.
Beliau turut berharap para sukarelawan yang terlibat dapat menjalankan misi dengan baik dan segala usaha bantuan berjalan lancar selain menjaga nama UUM, keselamatan dan kesihatan diri.
Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023, Mohd Khairone Md Khatidin berkata, sukarelawan ini terdiri daripada 10 staf dan 50 mahasiswa yang turun padang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir di Daerah Segamat, Tangkak, Batu Pahat, Caah, Kluang, Muar, Labis, Skudai dan Paloh.
"Usaha ini penting dalam mendukung kesiapsiagaan negara menghadapi keadaan kecemasan dalam bencana banjir yang memerlukan sukarelawan yang berkemahiran untuk memberikan bantuan,” ujarnya.
Jelasnya, program ini mendapat kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).
Tuturnya lagi, operasi banjir kali ini termasuk membersihkan 30 buah rumah, menghantar bantuan makanan dan kesihatan sebanyak 100 kotak Rahmah.
"Banjir yang melanda bukan hanya mendatangkan kerosakan harta benda dan kematian malah turut memberi kesan gangguan emosi misalnya dirundung sedih, bimbang dan takut.
"Justeru para kaunselor turut memberi sokongan psikososial dan emosi kepada mangsa banjir menerusi Psychology First Aid (PFA) dan motivasi,” tambahnya.