Nikotin berbahaya! Mohon ibu bapa pantau aktiviti anak-anak yang gemar menghisap vape

Iklan
Kandungan nikotin dalam vape sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan ketagihan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus dan turut menyumbang masalah gejala sosial yang lain.

Sejak kebelakangan ini, makin ramai pelajar sekolah menengah menghisap vape sebagai alternatif yang ‘kurang berbahaya’ berbanding rokok biasa.

Bagi mereka, vape hanyalah cecair wap biasa yang berperisa seperti gula-gula dan tidak membahayakan kesihatan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, bukti terkini menunjukkan penggunaan peranti itu mempunyai risiko dan bahaya tersendiri.

Ini kerana kebanyakan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh membawa ketagihan dan berbahaya kepada otak yang sedang berkembang.

Iklan

Malah, cecair vape juga mempunyai sejumlah bahan kimia yang sesetengahnya boleh menyebabkan kanser dan kerosakan teruk atau berkekalan pada peparu.

Penceramah dari Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Madya Dr Madihah Rushaidhi mengakui pelajar yang kerap menghisap vape sukar untuk berhenti disebabkan kandungan nikotin dalam cecair vape tersebut.

Iklan

"Ramai remaja dan pelajar sekolah menganggap vape selamat daripada rokok kerana mereka merasakan vape seperti gula-gula dan wap air berperisa.

"Sebenarnya tanggapan itu salah kerana kandungan nikotin ini sangat berbahaya yang boleh menyebabkan kepada ketagihan, membantutkan pembelajaran, hilang fokus seterusnya menyumbang masalah gejala sosial yang lain.

"Ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan terutama masalah paru-paru,” ujarnya seperti dipetik dalam sebuah portal tempatan.

Menurut Madihah, cecair vape mengandungi nikotin yang merembeskan bahan kimia dalam dopamin seterusnya memberikan satu perasaan gembira.

"Dopamin melatih otak agar mengulangi tingkah laku pengambilan sehingga akhirnya menimbulkan kebergantungan dan ketagihan kepada vape,” jelas beliau.

Pakar Perunding Psikiatri, Dr Yen Teck Hoe turut berkongsi pandangan mengenai nikotin.

Kata beliau, nikotin adalah bahan yang boleh menyebabkan ketagihan yang terkandung dalam produk tembakau, rokok elektronik dan sejumlah cecair vape.

"Nikotin berbahaya kepada otak yang berkembang. Ia boleh menjejaskan pembelajaran dan sukar menumpukan perhatian (bagi mereka yang bergelar pelajar).

"Nikotin akan memberi kesan kepada sikap dan menyukarkan seseorang remaja untuk mengawal keinginannya. Ia juga mampu mengubah cara otak berkembang dan berfungsi serta boleh meningkatkan kecenderungan individu untuk menjadi ketagih kepada bahan lain.

"Gangguan ini boleh meninggalkan kesan berpanjangan walaupun selepas individu atau pelajar itu berhenti menggunakan vape atau rokok kelak,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, pelajar dan individu yang ketagih nikotin akan menunjukkan beberapa tanda jika mereka tidak dapat menghisap vape.

"Antara tanda-tandanya adalah mudah marah dan kecewa; ketagih sesuatu, keresahan atau kemurungan; sukar memberikan tumpuan dan prestasi pembelajaran terganggu,” jelasnya.

Akhir sekali, Sinar Bestari berharap para ibu bapa sentiasa memerhati dan menasihatkan anak-anak sekiranya melihat mereka kerap menggunakan vape dalam rutin harian.

Sebolehnya sentiasa berkomunikasi dengan mereka dan bercerita tentang bahaya vape dan rokok. Jika usaha tidak berjaya, dapatkan bantuan dan nasihat profesional.

INFO

  • Menghisap vape adalah aktiviti menyedut dan menghembus wap atau aerosol (butiran pepejal yang terdapat di udara) melalui proses pemanasan. Ia digunakan sebagai peranti berkuasa bateri dengan bahan asasnya diperbuat daripada produk tembakau, cecair nikotin, cecair bukan nikotin atau gel berperisa.
  • Manakala merokok pula bermaksud menyedut dan menghembus asap yang terhasil daripada pembakaran produk tembakau. Para penyelidik berpendapat kedua-dua kaedah ini memberi kesan yang amat berbeza kepada seseorang walaupun mereka menggunakan produk tembakau dalam vape.