Strategi meningkatkan kemahiran pemikiran robotik kanak-kanak

Iklan
Permainan kanak-kanak didatangkan dalam pelbagai pendekatan, bentuk dan saiz serta menyediakan berbagai aktiviti lain kepada mereka.

Bermain merupakan fitrah dalam kalangan kanak-kanak dan ia adalah aktiviti utama dalam kehidupan seharian mereka.

Aktiviti bermain sebenarnya mampu meningkatkan keupayaan kognitif, bahasa, sosial, kemahiran motor halus dan motor kasar serta sebagainya.

Iklan
Iklan

Menyedari potensi tersebut, industri permainan kanak-kanak telah menghasilkan pelbagai jenis permainan bagi memenuhi permintaan semasa

Permainan kanak-kanak hadir dalam pelbagai pendekatan, bentuk dan saiz dan menyediakan berbagai aktiviti di mana kanak-kanak boleh mengekspresikan kreativiti mereka; mencabar kemahiran kognitif, kemahiran motor kasar dan motor halus; meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah dan lain-lain lagi.

Iklan

Baru-baru ini, timbul sedikit persoalan iaitu adakah semua permainan yang dihasilkan benar-benar berpotensi meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak atau tidak.

Ini kerana kebanyakan permainan yang dihasilkan tidak mempunyai dokumentasi lengkap sebagai panduan bagi ibu bapa atau guru-guru membimbing anak mereka dalam meningkatkan keupayaan kognitif khususnya aspek kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

Iklan

Menyedari permasalahan ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Special Interest Group (SIG) Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Thinker-Kidz telah bekerjasama dengan industri permainan kanak-kanak bagi menghasilkan panduan berstruktur pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan memanfaatkan permainan yang mereka hasilkan.

Menurut Ketua SIG, Dr Romarzila Omar, aspek kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah menjadi fokus disebabkan ia merupakan komponen terpenting dalam meningkatkan keupayaan kognitif kanak-kanak.

Menurut beliau, alat-alat permainan seperti kit robotik dan gajet telah menjadi trend dan kesukaan kanak-kanak kini.

"Mereka lebih teruja dengan permainan sebegini berbanding dengan permainan tradisional lain.

"Justeru itu, guru Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) dan ibu bapa perlu memahami dan menghayati akan kecenderungan kanak-kanak berkenaan.

"Kesedaran adalah penting bagi merangka strategi PdP sama ada di peringkat tadika, taska atau pra sekolah,” katanya.

Dalam meningkatkan kemahiran berfikir, terdapat banyak model yang boleh dirujuk dan dijadikan panduan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, didapati model pemikiran robotik atau komputasional merupakan antara model yang sangat meluas digunakan kini.

Oleh kerana model asal ini adalah umum dan tidak berfokus pada kanak-kanak, SIG STEM Thinkerz telah melakukan siri kajian bagi menyediakan model pemikiran robotik atau komputasional yang lebih mesra kanak-kanak.

Berdasarkan model umum tersebut, maka modul-modul baharu telah dibangunkan sebagai panduan kepada guru-guru PAKK dan ibu bapa dengan menggunakan permainan berkonsepkan robotik khususnya dalam meningkatkan minat mereka kepada bidang STEM.

Berdasarkan siri latihan yang dijalankan dalam kalangan guru-guru PAKK, penerimaan mereka adalah sangat meyakinkan.

Ini kerana kebanyakan guru-guru PAKK adalah bukan berlatar belakangkan STEM.

Sehubungan itu, dengan adanya modul berstruktur sebegini ia dilihat sangat membantu mereka dalam mengendalikan proses PdP secara lebih berstruktur menggunakan permainan.

Begitu juga dari aspek penerimaan dalam kalangan kanak-kanak. Di mana dalam menyelesaikan sesuatu aktiviti bermain sambil belajar, keupayaan pemikiran mereka sentiasa diaktifkan.

Disebabkan pendekatan bermain digunakan, kanak-kanak dilihat agak teruja sepanjang proses pembelajaran dengan mereka tidak menyedari keupayaan kognitif diri sebenarnya sentiasa dicabar secara tidak langsung.

Untuk meningkatkan potensi pendekatan ini pada masa hadapan, penyelidikan-penyelidikan lanjutan perlu dilakukan supaya segala kekurangan yang wujud dapat diatasi.

Ini bagi memastikan modul berstruktur dalam meningkatkan kemahiran berfikir kanak-kanak secara strategi bermain sambil belajar mampu menjadi panduan bermakna kepada guru-guru PAKK dan juga ibu bapa.

INFO

Siri penyelidikan SIG STEM Thinkerz ini diketuai Dr Romarzila bersama Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali, Dr Nor Mashitah Mohd Radzi, Farhana Nohrin Mohd Anuar, Dr Muslim Mohd Zalli, Dr Muhammad Ikhwan Saad, Dr Muhammad Ihsan Rokeman dan Nadia Shahira Amiruddin dari UPSI.

Maklumat Penulis

Pensyarah UPSI, Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali.