SBP, MRSM perlu utamakan pendapatan keluarga, tidak hanya fokus kecemerlangan akademik semata-mata

Iklan
Kecemerlangan akademik sepatutnya tidak menjadi ukuran, sebaliknya turut mengutamakan pendapatan keluarga seperti tujuan asal penubuhannya.

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak sepatutnya menjadi jaminan buat kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ia seharusnya turut mengutamakan pendapatan keluarga khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) agar selari dengan matlamat asal penubuhan sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Namun perkembangan terkini telah memperlihatkan ramai pihak mula mendakwa SBP dan MRSM seakan-akan menjadi ‘sekolah anak orang kaya’ di samping menjadi testimoni prestij seseorang pelajar.

Menurut Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, semua pihak hendaklah melihat semula tujuan asal penubuhan SBP.

Iklan

Beliau berkata, ia kelihatan sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.

"Dahulu tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera khususnya di luar bandar supaya dibantu mendapatkan pendidikan terbaik serta bersaing dengan rakan yang setara pencapaiannya.

Iklan

"Selain mendapat pendidikan, mereka juga dijaga dengan keperluan makan minum dan beberapa bantuan lain yang lebih sempurna supaya mampu fokus kepada pelajaran tanpa diganggu oleh faktor sosio ekonomi keluarga," ujarnya.

Fouzi menegaskan sejak dahulu lagi NUTP sudah menyuarakan dan meminta kerajaan untuk mengkaji dan mengembalikan semula tujuan asal penubuhan SBP supaya kemasukan pelajar ke sekolah jenis ini tidak berpandukan faktor pencapaian akademik semata-mata tetapi juga memberi penekanan pendapatan keluarga.

Ujarnya lagi, kebanyakan kes walaupun peluang kemasukan itu diberi kepada pelajar daripada keluarga B40, namun yuran persekolahan SBP dan MRSM lebih tinggi jika dibandingkan dengan sekolah harian biasa.

Hal ini boleh menjadikan mereka yang kurang berkemampuan terpaksa menolak tawaran tersebut.

"Masalah yuran mahal ini pastinya tidak menjadi masalah kepada mereka yang berkemampuan.

"Malah masalah yuran tambahan yang dikenakan juga perlu dilihat sebagai satu kekangan yang boleh menghalang kemasukan pelajar kurang berkemampuan ini," tuturnya lagi.

Selain itu, Fouzi turut menyatakan, SBP dan MRSM diakui mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan yang boleh mendatangkan manfaat kepada pelajar demi pembangunan masa depan negara.

Sementara itu, rekod sejarah penubuhan SBP bermula pada 1890 di mana ketika itu RO Winstead dilantik menjadi Timbalan dan kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Tanah Melayu.

Penubuhan awalnya adalah bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada orang Melayu dalam kalangan bangsawan menerusi aliran Inggeris.

Akan tetapi dasar berkenaan telah berubah sejajar dengan perkembangan semasa yang menyaksikan penubuhan sekolah terbabit dengan memberi peluang kepada pelajar luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan.