Menunaikan zakat fitrah sewaktu bulan Ramadan adalah kewajipan bagi umat Islam yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Menurut Lembaga Zakat Selangor dalam portalnya, umat Islam yang terdiri dalam kalangan lelaki, wanita, tua, muda, hamba atau merdeka dan mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan sehingga hari raya wajib menunaikan zakat fitrah.
Begitu juga penuntut yang sedang meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dan seumpamanya, jika mempunyai lebihan wang, mereka perlu membayar zakat fitrah jika tidak dibayarkan oleh orang tua masing-masing.
Mengenai zakat fitrah, tahukah anda pengertiannya dan perkara-perkara lain yang berkaitan?
Jom Sinar Bestari bawakan sebahagian perkongsian penting untuk guru, pelajar dan ibu bapa fahami berhubung zakat fitrah ini.
Zakat fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat ditetapkan.
Ia adalah kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadan bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya adalah individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya; anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari; memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan dan berkekalan Islamnya serta seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan.
Bayaran zakat fitrah disekalikan dengan lafaz akad yang dikendalikan oleh amil (pemungut zakat).
Lafaz akad terbahagi kepada tiga iaitu
1) Lafaz untuk diri sendiri
- Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana ALLAH Taala.
2) Lafaz untuk diri sendiri dan tanggungan
- Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana ALLAH Taala.
3) Lafaz bagi pihak
- Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili pada tahun ini kerana ALLAH Taala.
Sementara itu, waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima iaitu waktu wajib (apabila terbenam matahari akhir Ramadan sehingga terbit matahari satu Syawal); waktu afdal (sebelum sembahyang hari raya); waktu sunat (sepanjang Ramadan); waktu makruh (selepas sembahyang hari raya hingga terbenam matahari satu Syawal) dan waktu haram (selepas terbenam matahari satu Syawal).
Dalam pada itu, kadar zakat fitrah tahun 1444H/2023 bagi setiap negeri adalah berbeza dan mengikut kadar beras yang dimakan.
Di negeri yang mempunyai lebih daripada satu kadar, pembayar boleh memilih kadar harga mengikut kemampuan atau kadar bayaran itu dipilih berdasarkan gred atau harga beras yang menjadi makanan harian mereka.
1) Perlis: RM7
2) Kedah: RM6.50, RM7, RM14, RM 21
3) Pulau Pinang: RM7, RM 13, RM20
4) Perak: RM7, RM14, RM21
5) Selangor: RM7, RM14, RM21
6) Wilayah Persekutuan: RM7, RM14, RM21
7) Negeri Sembilan: RM7, RM10, RM21
8) Melaka: RM7, RM14, RM21
9) Johor: RM7, RM13
10) Pahang: RM7, RM14, RM21
11) Terengganu: RM8, RM10, RM24
12) Kelantan: RM7, RM14, RM21
13) Sarawak: RM7
14) Sabah: RM7