KPM usaha selesaikan isu DLP

Iklan
Perbincangan telah diadakan bersama JPN dan ibu bapa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik susulan daripada isu DLP.

Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha menyelesaikan isu berkaitan Program Dwibahasa (DLP) yang menyebabkan berlakunya demonstrasi dalam kalangan ibu bapa di Johor, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying memaklumkan, perbincangan telah diadakan susulan daripada isu berkenaan melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan ibu bapa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Iklan
Iklan

"JPN sudah berbincang bersama ibu bapa yang terlibat dan kami juga akan terus berbincang dengan mereka agar pendapat kedua belah pihak didengari,” ujarnya ketika hadir di Pameran Pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sekolah Menengah (SM) Cina Batu Pahat, Johor, baru- baru ini.

Media sebelum ini melaporkan hampir 100 ibu bapa dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, Johor Bahru telah mengadakan demonstrasi berhubung penurunan mendadak bilangan kelas DLP di sekolah terbabit pada 26 Mac lalu.

Iklan

Menurut Hui Ying, pada masa ini terdapat 2,240 sekolah telah melaksanakan DLP di seluruh negara meliputi 1,613 sekolah rendah dan 807 sekolah menengah.

Sementara itu, susulan pameran Pendidikan IPTA, beliau berkata, ia menyediakan platform kepada semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peluang melanjutkan pelajaran.

Iklan

Ujarnya, pameran berkenaan juga merupakan pameran keempat diadakan tahun ini selepas sekolah di Klang, Selangor; George Town, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.

"Kami turut bercadang untuk meneruskan penganjuran pameran seperti ini pada tahun berikutnya kerana ia berjaya mendapat minat dari negeri-negeri lain terutamanya Sabah dan Sarawak,” tuturnya.

Dalam pada itu, hadir sama ke pameran tersebut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Azman Adnan, Pengarah JPN Johor, Md Said Daimon dan pegawai-pegawai kanan KPM serta agensi terlibat.

KPM juga berharap pameran yang dianjurkan dapat memberi manfaat kepada murid-murid dalam meneroka peluang yang telah disediakan kerajaan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.