Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bakal mengadakan karnival pendidikan terbesar di negeri Selangor pada 10 hingga 12 Mei ini.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang menampilkan tema memacu pendidikan generasi digital akan berlangsung di Dataran Karangkraf di sini.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, karnival diadakan secara besar-besaran tersebut adalah untuk memupuk kesedaran khalayak terhadap dunia pendidikan yang semakin menuju ke arah pendigitalan.
Beliau memberitahu, ia bertepatan dengan generasi hari ini yang lebih terdedah kepada platform pendigitalan dalam memperoleh pelbagai sumber maklumat di hujung jari mereka.
"Selain itu, penganjuran Karnival Pendidikan Sinar Bestari merupakan salah satu inisiatif dalam memperluaskan lagi jenama sisipan pendidikan Sinar Harian yang diterbitkan setiap hari Isnin.
"Sisipan pendidikan Sinar Bestari menjadi platform kepada warga pendidik terutama sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) memperoleh pelbagai maklumat berkaitan pendidikan, kemahiran serta kerjaya terkini,” katanya.
Zamri berharap pihak sekolah dan IPT terutama di Selangor akan mengambil peluang untuk mengunjungi karnival berkenaan.
Katanya, orang ramai juga boleh menghadiri karnival tersebut kerana pelbagai aktiviti-menanti mereka termasuk jualan buku Karangkraf Mall, Sinar Rovers, menunggang kuda, hari kantin sekolah, mini zoo dan jualan mega.
Selain itu, pelbagai pameran bertemakan digital, skil dan kerjaya yang menjadi evolusi pendidikan masa depan dapat dikunjungi pengunjung dalam karnival berkenaan.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan termasuk pidato, tarian (sekolah), pancaragam, dikir Barat, e-sukan, koir, Sinar Bestari Got Talent dan kawad kaki.