Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan keputusan penawaran serta penempatan pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat kategori rayuan ke Sekolah Khusus akan dikeluarkan pada esok.
KPM menerusi kenyataan media pada Rabu berkata, Sekolah Khusus itu terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024.
"Semakan keputusan boleh dibuat melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi Tingkatan Satu dan pautan https://spskt4.moe.gov.my bagi Tingkatan Empat,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, KPM memberitahu, seramai 1,783 pelajar Tingkatan Satu dan 404 pelajar Tingkatan Empat telah ditawarkan ke SBP bagi kategori rayuan.
Manakala seramai 1,886 pelajar Tingkatan Satu dan 971 pelajar Tingkatan Empat pula ditawarkan ke SMKA.
"Syabas dan tahniah kepada pelajar yang berjaya ditawarkan ke Sekolah Khusus. Semoga terus maju jaya,” ujar KPM.
INFO
- Sekolah Khusus adalah sekolah yang terdiri daripada SBP, SMKA, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
- Untuk memohon Sekolah Khusus, calon perlu menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) iaitu satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke Sekolah Khusus secara dalam talian yang menggunakan kaedah single entry point.
- Single entry point bermaksud satu sistem permohonan yang menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke Sekolah Khusus menggunakan padanan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
- Semua pelajar yang didaftarkan di dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM layak untuk memohon dan menduduki PKSK.